Saturday 18 November 2023

JANGAN SAMPAI MELAYU SENASIB RED INDIAN

 
Orang Melayu mesti mengukuhkan kedudukan sebagai kuasa dominan di Malaysia atau berisiko menjadi orang asal negara maju seperti di Amerika Syarikat dan New Zealand.
 
Jangan Melayu jadi macam ‘Red Indian’ yang cuma tinggal sejarah, atau Maori yang ada muzium dan nama, tapi tidak ada kuasa.
 
Ini tanah Melayu. Betul, Melayu kena kongsi tetapi induk akar umbi kita mesti menjadi tonggak kuasa.
 
Orang Melayu kini berpecah-belah menyebabkan mereka terus dihina dan dipermainkan oleh kaum lain.
 
Melayu menghormati bangsa dan agama lain, tetapi bagaimana kalau bukan Melayu tidak menghormati Melayu?
 
Itu salah Melayu sendiri, kelemahan Melayu. Melayu tidak bersatu dan tidak menghormati sesama Melayu sendiri. Menjadi tanggungjawab setiap orang Melayu bangun dan mempertahankan agama dan bangsa daripada cubaan menghapuskan hak mereka.
 
Melayu tidak mahu nasib Melayu di Singapura, hilang kuasa dan lemah kedudukan ekonomi. Biarpun ada orang Melayu Singapura cuba menafikan keadaan ini dengan menyebut taraf kehidupan mereka lebih tinggi berbanding saudara sebangsa seagama di Malaysia. Hakikatnya Melayu Singapura yang pernah berkuasa kini menjadi minoriti.
 
Dalam perlembagaan Singapura ada menyebut tentang kedudukan Melayu yang dilindungi, namun sekadar satu ilusi. Hakikat sebenarnya berlaku sebaliknya.
 
Perhatikan Artikel 152 bahagian (2) yang menyebut “The Government shall exercise its functions in such manner as to recognise the special position of the Malays, who are the indigenous people of Singapore, and accordingly it shall be the responsibility of the Government to protect, safeguard, foster and promote their political, education, religious, economic, social and cultural interest and the Malay language.”

Terjemahan penulis: “Kerajaan akan menjalankan fungsi-fungsinya dengan cara yang sepatutnya untuk mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu, yang merupakan penduduk asal Singapura, maka dengan itu adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk melindungi, menjaga keselamatan, menggalakkan dan mempromosi kepentingan politik, pendidikan, keagamaan, ekonomi, sosial dan kebudayaan mereka dan bahasa Melayu.”
 
Perhatikan juga Artikel 153 bahagian (2) yang menyebut “The national language shall be the Malay language and shall be in the Roman script.”

Walaupun bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris turut diiktiraf sebagai antara empat bahasa rasmi di Singapura, bukankah ini cukup untuk menunjukkan keutamaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan walaupun cuma dipakai dalam tulisan Rumi, bukannya Jawi? 
 
Isi Artikel 152 dan 153 perlembagaan Singapura ini hampir membayangkan aspirasi yang termuat dalam Artikel atau Perkara 152 dan 153 perlembagaan Malaysia, mungkin akibat Singapura pernah berada di dalam Malaysia 1963-1965.
 
Perbezaan besar cuma terletak pada kedudukan orang Melayu sebagai minoriti di Singapura berbanding saudara-mara mereka yang merupakan majoriti di Malaysia.

Selain itu Melayu Singapura juga tidak memiliki satu institusi pelindung tertinggi seperti jabatan Yang dipertuan Agong dan Raja-raja Melayu yang kedudukan mereka turut diperuntukkan di dalam perlembagaan Malaysia sebagai memiliki hak penuh dalam menjaga hal-ehwal agama Islam dan adat-istiadat Melayu. 
 
Namun isi perlembagaan Singapura itu cukup jelas. Orang Melayu di pulau itu sepatutnya turut mendapat keistimewaan serupa seperti di Malaysia.

Menarik juga difikirkan apabila ada puak chauvinis di Malaysia sibuk cuba menjatuhkan kedudukan orang Melayu dengan menuduh Melayu sebagai pendatang konon, bukan penduduk asal Tanah Melayu.

Walhal pada perlembagaan Singapura sendiri, sebuah negara yang sudah lama dipimpin puak chauvinis terdapat kenyataan yang menyebut bahawa orang Melayu adalah penduduk asal pulau Singapura.
 
Artikel 152 Perlembagaan Singapura mungkin bercakap tentang melindungi hak orang Melayu. Tetapi hakikatnya Melayu cuma satu minoriti dari pelbagai bangsa yang didominasi bangsa Cina.

Keadaan orang Melayu di Singapura hampir sama dengan kaum Red Indian di Amerika Syarikat, kawasan tempat tinggal utama mereka dahulukala misalnya di Kampung Gelam dan sekitar Masjid Sultan dipertontonkan sebagai satu warisan untuk tarikan pelancong.
 
Perlindungan apa jika bekas istana Sultan dijadikan muzium? Kenapa tidak dipertahankan sebagai satu pusat kepimpinan orang Melayu? 
 
Mungkin pemerintah Singapura mahu mengambil contoh dari keadaan di seberang Tambak Johor di mana Istana Besar Johor yang mula dibina 1864 sebelum siap 1866 dijadikan Muzium Diraja Abu Bakar 1982. Tapi itu dengan perkenan Sultan Johor yang memiliki beberapa istana lain. Istana Kampung Gelam di Singapura yang kini menjadi muzium adalah satu-satunya warisan kepimpinan orang Melayu yang tinggal di pulau itu.
 
Jika pusat kepimpinan yang merupakan istana milik Sultan Hussain Shah pada zaman kedatangan Raffles 1820-an telah dijadikan bahan tontonan umum tanpa diberikan ganti serupa taraf yang dapat menyatukan orang Melayu, apakah yang dipraktikkan dari Artikel 152?

Gambar - Istana Kampung Gelam yang kini dijadikan muzium

No comments:

Post a Comment