Tuesday 7 November 2023

LEBAH BANYAK MEMBANTU KEHIDUPAN MANUSIA

 
Kalau disebut lebah, tentu sekali yang diingati ialah madu lebah. Sedangkan sebenarnya lebah bukan sahaja memberi manfaat kepada manusia dalam penghasilan madu lebah, tetapi sumbangan yang lebih besar daripada itu.
 
Sebagai mengiktiraf kepentingan lebah dalam kehidupan manusia, tarikh 20 Mei setiap tahun diiystiharkan sebagai Hari Lebah Sedunia.
 
Lebah boleh didapati di setiap kawasan dunia ini yang ada tumbuhan berbunga kecuali di Antartika. Terdapat kira-kira lebih 16,000 spesies lebah dikenal pasti dalam tujuh keluarga biologi diktiraf.
 
Fungsi utama dimainkan lebah adalah sebagai agen pendebungaan. Lebah sangat penting dalam ekosistem, kerana banyak spesies tanaman memerlukan serangga ini untuk membiak.
 
Pendebungaan adalah proses pemindahan debunga dari anter ke stigma. Proses ini penting bagi memastikan kejayaan persenyawaan pokok dan seterusnya untuk kemandirian spesies tumbuhan.
 
Melalui proses ini dianggarkan 60 peratus buah-buahan dan sayur-sayuran yang ada sekarang dapat dihasilkan. Sekiranya lebah tidak memainkan peranan dalam proses pendebungaan ini dalam ekosistem, maka semua sayur-sayuran, buah-buahan termasuk beras dan roti tidak akan ada lagi dalam menu harian manusia.
 
Tanpa proses pendebungaan, tumbuhan tidak akan mengeluarkan hasil dan tidak akan membiak dan seterusnya pupus. Kira-kira 85 peratus daripada semua tumbuhan di bumi berkembang biak melalui proses pendebungaan. Tanpa lebah dan serangga lain yang menjalankan tugas pendebungan, dunia akan hilang sumber makanan.
 
Justeru, pemahaman tentang kepentingan serangga sebagai agen pendebungaan membuktikan bahawa lebah antara adalah barisan hadapan (frontliners) agen pendebungaan.
 
Hakikatnya, lebah mempunyai peranan unik dalam ekosistem iaitu dalam bio-kepelbagaian dan keseimbangan alam sekitar. Jika kita membunuh serangga ini sewenang-wenangnya, ekosistem kita akan menjadi tidak seimbang dan akhirnya menjejaskan kemandirian haiwan dan tumbuh-tumbuhan lain.
 
Justeru, ramai saintis menggelarkan lebah sebagai spesies paling berharga di dunia, mengatasi plankton, kulat dan kelawar. Maka, kita harus sentiasa berterima kasih kepada barisan hadapan ini yang tidak pernah gagal mewarnai hidup kita secara tidak langsung.
 
Buah tidak terhasil tanpa pendebungan

No comments:

Post a Comment