Saturday 17 August 2024

KEMAMPUAN CALON MENJADI PILIHAN PENGUNDI

 
Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani diumumkan secara rasmi menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri selepas menewaskan calon Pas mewakili Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail sekali gus menawan semula kerusi itu.
 
Pengumuman dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Nenggiri, Nik Raisnan Daud, di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, jam 9.35 malam ini.
 
Mohd Azmawi Fikri, 38, secara rasmi menang dengan memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya daripada PN, Mohd Rizwadi yang meraih 5,739 undi.
Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan Gua Musang yang mesra dengan panggilan Awie menang dengan majoriti 3,352 undi.
 
Keputusan rasmi itu diperoleh selepas kiraan semua 46 saluran peti undi di 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan sebanyak 135 kertas undi ditolak.
 
Berdasarkan keputusan kiraan, BN memenangi 17 daripada 20 pusat daerah mengundi (PDM), manakala PN pula hanya menguasai tiga PDM.
 
DUN Nenggiri ialah satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Gua Musang, berkeluasan 235,300 hektar atau hampir dua kali ganda keluasan Melaka.
 
Berdasarkan statistik SPR, daripada 20,259 pengundi berdaftar, 14 anggota polis telah mengundi secara pos yang menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka, manakala secara keseluruhan sebanyak 43 kertas undi pos telah dikeluarkan pada 5 Ogos lalu kepada individu yang berhak.
 
Bagi membantu melancarkan proses pengundian, seramai 431 petugas SPR, dan seramai 995 anggota polis bertugas.
 
PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas setelah bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
 
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15 Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menewaskan calon BN Ab Aziz Yussof dengan majoriti 810 undi.
 
Kejayaan BN memang sudah diduga, tetapi bukan majoriti besar. Banyak penganalisa politik menjangkakan BN akan menang dengan majoriti bawah seribu undi. Ini berdasarkan kepada gerak kerja kempen yang dilakukan jentera Pas yang diketuai Tan Sri Annuar Musa agak agresif dan bersemangat dengan bantuan jentera dari kawasan seluruh Kelantan dan negeri-negeri lain.
 
Malah, gerak kempen Pas kali ini turut memberi tumpuan di lima PDM Orang Asli yang menunjukkan betapa bersungguh-sungguh untuk mengekalkan kemenangan sebelum ini.
 
Pas pada peringkat awal lagi telah berdepan dengan masalah keyakinan pengundi apabila memilih calon bekas ahli Pas yang keluar parti dan kemudian menjadi ahli Bersatu semata-mata untuk menjadi calon atas nama Bersatu mewakili PN.
 
Sikap tersebut dianggap “menipu” pengundi dan sikap “tamak” Pas yang ingin “ahli Pas” menjadi calon biarpun didaftarkan atas ahli Bersatu. Akibat keadaan itu, sebahagian pemimpin dan ahli Bersatu tawar hati untuk menyokong calon Pas. Malah ada di kalangan ahli Bersatu bertindak menyokong dan membantu calon BN.
 
Biarpun Pas begitu yakin mampu mempertahan DUN Nenggiri, jauh di sudut pemikiran pemimpin Pas dan ahlinya sebenarnya gusar dan ragu dengan penilaian keseluruhan pengundi tentang kemampuan calon mereka. Di kebanyakan penampilan di pentas ceramah dan aktiviti bersama pengundi, didapati kurang berkarisma dan tiada penonjolan sebagai pemimpin.
 
Malah, di kalangan pengundi berfikiran bahawa calon Pas hanya satu “ujian” tentang penerimaan pengundi sama ada semata-mata memilih parti atau turut mengambil kira kemampuan calon.
 
Ada kata-kata yang membayangkan bahawa pengundi mudah disogok dengan nama parti semata-mata tanpa mengambil kira kemampuan calon. Kenyataan itu secara tidak langsung menyatakan bahawa calon Pas tidak ada asas kukuh untuk diketengahkan sebagai pemimpin untuk membantu dan membela rakyat jika menang.
 
Ini nampak jauh perbezaan dengan kempen BN yang mengetengahkan Awie sebagai ikon pemimpin muda. Kemampuan Awie lebih ditonjolkan berbanding BN itu sendiri. Ia selari dengan ketokohan Awie yang sejak menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang bermula tahun 2018 sehingga sekarang.
 
Sepanjang tempoh tersebut, Awie telah mendekati pengundi dan masyarakat, terutama golongan muda dengan pelbagai aktiviti yang pastinya menjadikan dia sosok tubuh yang dikenali dan dihormati.  
 
Pemilihan Awie banyak membantu kemenangan BN yang inginkan pemimpin muda yang berkarisma dan berkualiti untuk membawa tugas yang signifikan dengan perjuangan UMNO sejak dahulu.
 
Justeru, pemilihan calon yang terbaik adalah penting bukan sekadar nama parti semata-mata. Jadi, UMNO perlu membentuk pemimpin yang terbaik untuk meneruskan legasi parti pada masa hadapan.
 











No comments:

Post a Comment