Bukit Bunuh terletak di Lenggong Perak. Kawasan kampung yang
pada pandangan mata kasar tidak ada bezanya dengan kampung-kampung lain.
Ironinya, Bukit Bunuh adalah tapak arkeologi penting yang menyimpan sejarah
purba kehidupan manusia ribuan tahun lalu.
Usaha cari gali di tapak ini bermula pada 80-an, tetapi
mendapati permukaan bumi kosong. Tinjauan kembali pada 2001 menjumpai
beribu-ribu batu pelbagai jenis seperti suevite, quartzite, quartz, dan
metamorphik terbongkar ke permukaan hasil aktiviti pertanian. Penemuan bukti
ini di kompleks Paleolitik seluas 4 km persegi di Bukit Bunuh menjadikannya
salah sebuah tapak Paleolitik terpenting di dunia.
Sekitar awal tahun 2000-an, para penyelidik dari Universiti
Sains Malaysia menjalankan kajian di kawasan ini dan menemui sesuatu yang
mengubah landskap arkeologi negara. Mereka menemui alat purba berupa kapak batu
yang tertanam dalam lapisan batuan kuarza.
Penemuan itu membuka banyak rahsia lain iaitu batuan kuarza terbentuk
hasil daripada hentaman meteorit besar yang berlaku berjuta-juta tahun lalu.
Hentaman meteorit di Bukit Bunuh bukan kecil. Ia dipercayai
melepaskan tenaga besar yang boleh menandingi impak bencana global. Batuan
impak yang dikenali sebagai suevit, biasanya hanya ditemui di lokasi hentaman
meteorit seperti di Jerman dan Afrika Selatan, turut dijumpai di sini.
Alat-alat batu yang ditemui di Bukit Bunuh bukan sekadar
serpihan. Ia adalah bukti bahawa manusia waktu itu telah pun mempunyai
kemahiran teknologi asas untuk membentuk peralatan mengikut fungsi. Mereka tahu
memilih jenis batu, tahu teknik memecah dan membentuk, dan tahu menggunakan
alat tersebut untuk kegiatan harian seperti memburu dan memotong. Ini
menunjukkan tahap pemikiran yang sistematik, satu kemampuan yang tidak muncul
secara tiba-tiba.
Penemuan di Bukit Bunuh telah mencabar persepsi bahawa
sejarah manusia hanya bertapak di Afrika sebelum merebak ke seluruh dunia.
Sebaliknya, ia membuka teori bahawa Asia Tenggara juga adalah kawasan penting
dalam perkembangan awal manusia.
Bukit Bunuh merupakan tapak terdedah yang memberikan data
arkeologi dan geologi yang begitu banyak yang menyumbang pada pemahaman kita
mengenai persekitaran-palaeo dan tingkah-laku kognitif dan budaya manusia awal
melalui penggunaan peralatan batu mereka.
Selain itu terdapat kesan geologi hentaman meteor yang
bertarikh 1.83 juta tahun dahulu melalui teknik jejak-fision. Tapak ini dipenuh
dengan bercas hentaman seperti suevite dan impactite lainnya.
Maka, penemuan Bukit Bunuh telah mengukuhkan lagi bukti
prasejarah di Lembah Lenggong, dan menjadikannya sebuah lembah arkeologi yang
penting di dunia.
Bukti-bukti yang ditemui dalam penyelidikan di Bukit Bunuh
yang dilakukan sejak tahun 2001 menunjukkan yang tapak ini dihuni secara
berterusan. Tapak di Bukit Bunuh menjadi pilihan kawasan petempatan awal kerana
ia memiliki sumber alam yang diperlukan untuk menyediakan peralatan batu serta
mempunyai persekitaran kuno yang mempunyai sumber air dari tasik kuno, flora
dan fauna yang diperlukan mereka.
No comments:
Post a Comment