Saturday 17 August 2024

BN MENANG BESAR DI LIMA PDM ORANG ASLI

 
Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang besar di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Orang Asli. Terdapat lima PDM Orang Asli daripada 20 PDM keseluruhan dalam DUN Nenggiri.
 
Keputusan PDM Tohoi, BN mendapat majoriti 302 undi apabila mendapat 330 undi berbanding Pas 25 undi. PDM Sungai Puian, BN (305) dan Pas 5 yang memberi majoriti 300 kepada BN.
 
PDM Sungai Jenera, BN 440 mengatasi Pas sekadar mendapat 88 undi, dengan majoriti 352 undi. BN terus mencatat kemenangan besar dengan majoriti 307 undi di PDM Simpor apabila mendapat 325 undi berbanding Pas 18 undi. Manakala di PDM Sungai Wias, BN mendapat majoriti 260 undi apabila mendapat 298 undi berbanding 38 undi diperoleh Pas.

BN menamakan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38, sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan manakala Perikatan Nasional (PN) menamakan Mohd Rizwadi Ismail, 41, yang juga bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Calon PN menggunakan logo Pas.

Untuk keputusan keseluruhan, Azmawi menang dengan memperoleh 9091 undi menewaskan  Rizwadi yang meraih 5739 undi, sekali gus menawan semula kerusi itu yang terlepas pada PRN lalu.

Pengumuman dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Nenggiri, Nik Raisnan Daud, di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, jam 9.35 malam ini.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan Gua Musang yang mesra dengan panggilan Awie menang dengan majoriti 3,352 undi.

Keputusan rasmi itu diperoleh selepas kiraan semua 46 saluran peti undi di 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan sebanyak 135 kertas undi ditolak.

Berdasarkan keputusan kiraan, BN memenangi 17 daripada 20 pusat daerah mengundi (PDM), manakala PN pula hanya menguasai tiga PDM.

DUN Nenggiri ialah satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Gua Musang, berkeluasan 235,300 hektar atau hampir dua kali ganda keluasan Melaka.
 
Berdasarkan statistik SPR, daripada 20,259 pengundi berdaftar, 14 anggota polis telah mengundi secara pos yang menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka, manakala secara keseluruhan sebanyak 43 kertas undi pos telah dikeluarkan pada 5 Ogos lalu kepada individu yang berhak.
 
Bagi membantu melancarkan proses pengundian, seramai 431 petugas SPR, dan seramai 995 anggota polis bertugas.
 
PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas setelah bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
 
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15 Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menewaskan calon BN Ab Aziz Yussof dengan majoriti 810 undi.
 
Ini ialah PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang).


No comments:

Post a Comment