Sunday 15 September 2024

ASAL USUL NAMA KAMPUNG MELA

Kampung Mela merupakan salah sebuah perkampungan yang berada dalam Mukim Cheka 1, Pahang. Sebutan Kampung Mela dalam dialek tempatan ialah “meler”. Lokasinya terletak 32 kilometer dari bandar Jerantut dan 38 kilometer dari bandar Kuala Lipis. Keluasan kampung ini dalam lingkungan 833 hektar dengan bentuk muka buminya yang berbukit-bukau.
 
Kampung Mela terdiri dari beberapa subkampung seperti Kampung Mela Tengah, Kampung Selang Dato’, Kampung Hilir, Kampung Atil, Kampung Serunai, Kampung Temunga, Kampung Serdang, Kampung Talus, Kampung Bungor, Kampung Chagah, Kampung Gemunchur, Kampung Ganding, Kampung Temetong, Kampung Limau Purut dan Kampung Jeram Landak.
 
Kampung Mela menjadi laluan kereta api yang dikendalikan Keretapi Tanah Melayu (KTM) untuk laluan pantai timur dari Tumpat (Kelantan) ke Gemas (Negeri Sembilan) sebelum bersambung laluan pantai barat sama ada terus menuju selatan ke Johor Baharu atau ke utara yang melalui Kuala Lumpur sehingga ke Padang Besar di Perlis.
 
Terdapat dua versi kisah sejarah bermulanya Kampung Mela yang terletak berhampiran Sungai Jelai.  
 
Kisah pertamanya dikatakan berlaku sekitar abad ke-17 lagi. Penduduk Pahang Barat atau Hulu Pahang (Daerah Lipis) semasa zaman Kesultanan Melaka penghuninya majoriti terdiri daripada orang Asli, di samping sebilangan kecil orang Melayu keturunan Melaka, dan orang Melayu keturunan Minangkabau.
 
Orang Minangkabau datang mencari penempatan baru, selain berdagang juga melombong emas. Manakala orang keturunan Melaka datang bertujuan mengislamkan orang Asli.
Semasa dalam perjalanan menuju ke Lipis, seorang keturunan bangsawan Melaka bernama Tun Behur telah berhenti di satu tempat membuat penempatan. 

Peristiwa itu menyebabkan orang mula menamakan kampung itu Kampung Behur. Perkataan “behur” susah disebut. Orang mula menyebut “belur”. Tidak lama kemudian disebut “melor” pula. Akhirnya sebutan itu menjadi “mela”. Dikatakan Tun Behur membuka Kampung Mela mungkin sebelum tahun 1600.
 
Manakala versi kedua pula mengaitkan Kampung Mela dengan Tok Rahim yang membukanya pada 1809 oleh Tok Rahim. Nama asal Kampung Mela dipercayai berasal daripada perkataan ‘mula’ iaitu kawasan hutan belukar yang mula-mula sekali dibuka dan menjadi sebuah kawasan penempatan.
 
Perubahan dari tahun ke tahun menyebabkan sebutan ‘mula’ akhirnya berubah menjadi ‘mela’ mengikut sebutan mulut seseorang. Tok Rahim yang membuka kawasan penempatan ini digelar dengan nama ‘Tok Mela' dan telah berkahwin dengan Siti Sarah yang digelar Hitam Cuai. Setelah mendapat zuriat, mereka mengambil keputusan untuk terus menetap di Kampung Mela.

No comments:

Post a Comment