Sunday 15 September 2024

STESEN MELA KEMBALI MENJADI TUMPUAN

 
Kampung Mela merupakan salah sebuah perkampungan yang berada dalam Mukim Cheka 1, Pahang. Sebutan Kampung Mela dalam dialek tempatan ialah “meler”. Lokasinya terletak 32 kilometer dari bandar Jerantut dan 38 kilometer dari bandar Kuala Lipis.

Kampung Mela merupakan antara kampung paling awal mendapat kemudahan stesen kereta api sebagai hentian untuk penumpang naik dan turun sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Pada ketika itu, tidak ada kemudahan jalan raya menghubungkan kampung tersebut dengan bandar terdekat seperti Jerantut dan Kuala Lipis. Satu-satunya pengangkutan hanya melalui sungai.

Stesen Mela pada awal tahun 1960-an merupakan sebuah stesen yang sentiasa sibuk. Selain digunakan penduduk untuk turun naik kereta api, ia juga menjadi tempat tumpuan aktiviti penduduk kampung sekitar, sebagai lokasi santai dan tempat tumpuan para peniaga menjual hasil kampung seperti buahan dan sayuran.

Pada waktu itu terdapat perkhidmatan kereta api yang dipanggil "Kereta Ai Serindik" yang bermaksud kereta api yang membuat perkhidmatan pengangkutan antara stesen dari Kuala Lipis ke Kampung Mela dua kali dalam satu hari. Trip pagi bermula jam 6.00 pagi dan trip petang pada jam 4.00 petang.

Perkhidmatan mel ekspres juga berhenti di Stesen Mela untuk perjalanan dari Stesen Tumpat sehingga Stesen Gemas sebelum meneruskan perjalanan sama ada ke Stesen Baharu atau Stesen Kuala Lumpur.

Stesen ini juga menjadi tumpuan terutamanya apabila ada pertunjukan seperti tayangan wayang gambar (wayang pacak) yang dibawakan oleh pihak Jabatan Penerangan Malaysia untuk menghiburkan penduduk kampung.

Pada zaman di mana penggunaan keretapi wap, stesen ini menjadi tempat untuk mengisi air di dalam lokomotif. Air tersebut untuk menghasilkan wap yang dipanaskan menggunakan arang batu dan akan menggerakan kereta api tersebut.

Terdapat sebuah stesen pam air yang disediakan oleh pihak KTM di Kampung Selang Datuk, Mela di mana sebuah perigi besar digali dan sebuah pam air yang menggunakan arang batu dipasang.

Pam air akan dihidupkan pada waktu pagi untuk memenuhkan tangki air yang dipasang berdekatan stesen. Air dari tangki akan disalurkan ke lokomotof apabila diperlukan. Pam air itu tidak lagi digunakan apabila KTM menukar lokomotof berinjin wap kepada injin disel.

Semua peralatan termasuk tangki dan hos besar yang terdapat di stesen tersebut telah ditanggalkan. Yang tinggal hanyalah perigi besarnya sahaja.

Perkhidmatan kereta api semakin tidak mendapat sambutan apabila ada kemudahan jalan raya menghubungkan Kampung Mela dengan kawasan-kawasan lain.

Maka itu, sekitar tahun 2002 atau 2023, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menghentikan atau tidak menjadikan Stesen Mela sebagai hentian. Ia sekadar menjadi laluan dan tidak menjadi hentian kerana kekurangan penumpang apabila penduduk kampung lebih selesa menggunakan pengangkutan darat seperti kereta dan motosikal untuk ke bandar terdekat.

Bermula Febuari 2022, KTMB mengembalikan Stesen Mela sebagai hentian kereta api apabila perkhidmatan tren Diesel Multiple Unit (DMU) beroperasi dari Stesen Tumpat sehingga Stesen Gemas.

Perkhidmatan semula tren DMU KTMB ini amat signifikan kepada penduduk luar bandar khususnya mereka yang tidak mempunyai kenderaan, warga emas, pelajar ke sekolah malah mereka yang berminat untuk perjalanan secara santai dan selamat ke destinasi pilihan masing-masing.

Sebenarnya, penduduk Kampung Mela sangat sinonim dengan perjalanan kereta api sejak kecil sebelum Stesen Mela tidak lagi menjadi hentian.

Diharapkan sambung semula operasi Stesen Mela akan terus berfungsi memberikan perkhidmatan selesa dan terbaik kepada penduduk. 



No comments:

Post a Comment