Jambatan
Guillemard merupakan jambatan kereta api terpanjang di Malaysia. Ia juga memegang rekod jambatan kereta api kedua tertua di Malaysia. Jambatan kereta api tertua di
Malaysia adalah Jambatan Kereta Api Victoria, Kuala Kangsar, Perak yang siap
dibina pada tahun 1900.
Jambatan Guillemard juga merupakan jambatan kereta api pertama (dan masih jambatan kereta api tunggal) merentasi
Sungai Kelantan.
Jambatan
Guillemard menjadi saksi kepada banyak peristiwa bersejarah yang berlaku di
Kelantan, khususnya kemaraan tentera Jepun semasa Perang Dunia ke-II, siri Bah
Merah pada tahun 1926, 1967 dan 2014 (Bah Kuning).
Jambatan
Guillemard merupakan sebuah jambatan kereta api yang mana kebanyakan
strukturnya dibina dengan menggunakan besi. Jambatan ini merentasi Sungai
Kelantan yang bermula di Paloh Rawa di Machang ke Kursia di Tanah Merah,
Kelantan.
Jambatan Guillemard mula dibina
pada tahun 1920 oleh Metro Carriage Wagon & Finance Company Limited,
Wednesbury Works England. Jambatan sepanjang 609. 6 meter siap dibina pada
bulan 19 Julai 1924.
Pada tarikh tersebut satu kereta api khas telah bergerak dari Stesen Tumpat merentasi jambatan tersebut yang secara rasmi menandakan penggunaannya. Peristiwa itu disaksikan oleh Sultan Ismail ibni Sultan Muhammad IV, Sultan Kelantan pada ketika itu. Nama "Guillemard" diambil sempena nama Pesuruhjaya Tinggi British pada masa itu, iaitu Sir Laurence Guillemard.
Tujuan
utama jambatan ini dibina adalah untuk menyediakan laluan bagi kereta api dan
kenderaan-kenderaan lain.
Ketika
Perang Dunia Kedua, atau lebih tepat lagi pada 12 Disember 1941, jambatan ini
telah dimusnahkan oleh tentera British untuk melambatkan kemaraan tentera Jepun
dari utara ke selatan. Ia diletupkan selepas perjalanan kereta api terakhir
menuju ke Singapura yang membawa warganegara British.
Selepas
tamat Perang Dunia Kedua, jambatan kereta api ini telah dibaik pulih dan dibuka
semula kepada lalu lintas pada 7 September 1948.
Pada 1
Febuari 1988, laluan itu hanya dikhaskan kepada kegunaan kereta api apabila
jambatan baharu untuk kenderaan pelbagai guna siap dibina tidak jauh dari situ.
No comments:
Post a Comment