Friday, 29 July 2022

KAYA DAN MISKIN SALING MEMERLUKAN

 
Allah SWT menjadikan manusia ada yang miskin dan kaya. Setiap perkara yang ditakdirkan oleh Allah SWT ada hikmahnya. Tidak ada satu perkara pun yang dijadikan Allah SWT tidak memberi kebaikan atau sia-sia. 

Allah SWT telah menentukan rezeki di antara hamba-hamba-Nya, Dialah yang melapangkan rezeki sebahagian manusia dan menyempitkan rezeki sebahagian yang lain, hal itu dilakukan untuk suatu hikmah yang sempurna, yang berkonsekuensi pada pujian terhadap-Nya atas seluruh keputusan-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 71 yang bermaksud: “Dan Allah melebihkan sebahagian kalian dari sebahagian yang lain dalam hal rezeki”.

Firman Allah SWT: “Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Dia (pula) yang menyempitkan baginya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu” (Surah Al-Ankabuut, ayat 62).

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu” (Surah al-Hujuraat, ayat 13).

Allah telah menentukan pembahagian rezeki di antara hamba-hamba-Nya, lalu ada yang miskin ada pula yang kaya.

Adapun bagi orang yang ditakdirkan miskin, maka di antara hikmahnya, agar hamba yang miskin tersebut merasa sentiasa memerlukan Allah SWT. Dia semakin gigih mencari rezeki, banyak berdoa, bertawakal, dan mendekatkan diri kepada-Nya dan ia pun berkesempatan meraih darjat orang-orang yang bersabar.

Demikian juga bagi orang yang kaya, dia akan mengetahui dan merasakan betapa besarnya nikmat Allah SWT atas dirinya. Sehingga akan terdorong untuk mensyukurinya, kerana dia sedar bahawa kekayaan itu adalah ujian, maka dia berusaha menjalani ujian itu dengan sebaik-baiknya, sehingga dia menjadi golongan orang-orang yang bersyukur kepada Allah SWT.

Jika demikian sikap keduanya (si miskin dan si kaya), maka sesungguhnya kekayaan dan kemiskinan itu sama saja bagi seorang muslim, iaitu sama-sama sebagai ujian dari Allah SWT.

Allah SWT membagi-bagi rezeki di antara para hamba-Nya agar tegaknya maslahat agama dan dunia mereka.

Kalau seandainya semua hamba-Nya kaya, tentu banyak di antara mereka yang akan bertindak melampaui batas dan sewenang-wenang, dengan melakukan kemaksiatan ataupun kekufuran.

Namun, jika semua hamba-Nya dijadikan miskin, akan banyak urusan yang terbengkalai, kerana banyak urusan umat ini yang memerlukan harta dalam jumlah yang banyak.

Jika semua orang satu tingkatan dalam masalah rezeki, tentulah akan kesukaran bagi sebahagian orang untuk memanfaatkan sebahagian orang yang lainnya.

No comments:

Post a Comment