Saturday, 14 March 2020

MAKSUD PERKATAAN 'KUNDANG' SELAIN BUAH

Umum mengetahui banyak perkataan atau sebutan dalam bahasa Melayu membawa beberapa maksud, yakni tidak membawa satu maksud sahaja. Ada perkataan hanya digunakan di tempat atau di kalangan golongan tertentu sahaja.

Kita ambil contoh perkataan 'kundang'. Apabila disebut perkataan kundang, umum kita memahami atau tergambar mengenai sejenis pokok atau buahnya. 

Buah kundang juga dikenali buah setar dan buah kemior. Pokok setar atau kundang merupakan asal usul nama Alor Setar.

Kundang juga mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud pembalut luka pada kemaluan yang baharu disunatkan (dikhatankan). 

Siapa tahu bahawa pembelut luka pada kemaluan yang baharu disunatkan itu dinamakan kundang? Rasanya, tentu ramai hanya sekarang mengetahui mengenainya.

Satu lagi maksud kundang ialah budak suruhan raja. Itu bahasa atau maksud yang digunakan pada masa dahulu. Sekarang ini lebih manis dipanggil pembantu raja atau pembantu permaisuri.

Kundang istana berbeza dengan dayang istana. Kundang tidak dikhususkan jantina. Mungkin seorang lelaki ataupun perempuan. 

Kalau kundang kepada raja, maka yang dipilih adalah kundang lelaki. Manakala untuk kundang permaisuri adalah wanita. 

Sedangkan dayang istana adalah gelaran khusus kepada gadis yang bertugas melayan keperluan permaisuri dan puteri raja.

Jika perkataan kundang ditambah perkataan anak yang menjadi anak kundang, ia membawa maksud anak yang amat dikasihi atau disayangi.

No comments:

Post a Comment