Monday, 20 May 2024

JARAK ANTARA DUA PINTU SYURGA

 
Berapakah jarak antara dua pintu syurga? Rasulullah SAW ada menjelaskan tentangnya dalam sabda yang bermaksud: “Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam kekuasaan-Nya, sesungguhnya jarak di antara dua daun pintu syurga adalah seperti jarak antara Mekah dan Hajar, atau seperti jarak antara Mekah dan Busra." (Hadis riwayat Muslim)
 
Kawasan Hajar terletak di Bahrain dan Busra pula di selatan Syria. Hadis tersebut menjelaskan betapa luasnya pinta syurga. Namun, pada zaman Nabi, ia sekadar menjelaskan tentang jarak yang tidak diukur secara tepat. Dan, tidak pasti jarak dua tempat itu dijadikan “rujukan”. Tidak cukupkah dengan hanya satu tempat?
 
Hari ini, teknologi pengimejan satelit telah mengesahkan bahawa jarak antara kedua-dua lokasi ini memang sama. Satu mukjizat dan kebolehan Nabi SAW yang diberi kelebihan oleh Allah SWT.
 
Pada era Nabi SAW untuk membuat pengukuran dari udara bukanlah satu perkara yang mudah. Perkara ini sukar dilakukan sehingga muncul abad ke-20 apabila proses pemfotoan muka bumi dapat dibuat dengan terperinci
 
Sheikh Abdul Majid Zindani, Pengerusi Lembaga Mukjizat Saintifik Dalam Al-Quran dan As-Sunnah, semasa mengulaskan berkenaan perkara ini menegaskan bahawa jarak antara dua tempat yang jauh sukar untuk mendapat ukurannya yang tepat, melainkan jika ia diukur dari udara, kerana ia tidak terhalang oleh bentuk muka bumi yang tidak rata, jalan yang bengkang-bengkok.
 
Berdasarkan pengukuran jarak dua tempat dari udara dan dalam garis lurus, ternyata antara Mekah dan Busra (selatan Syria) dan antara Mekah dan Hajar (sekarang di Bahrain) jaraknya adalah sama iaitu jaraknya 1,273 kilometer.
 
Subhanallah! Kecanggihan satelit pada hari ini telah mengakui kebenaran kata-kata yang diungkapkan oleh Nabi SAW bila mana baginda membicarakan tentang jarak antara pintu syurga
 
Kebenaran mukjizat Rasullullah SAW telah dibuktikan secara ilmiah melalui teknologi-teknologi zaman sekarang padahal ketika zaman baginda, tiada sebarang teknologi canggih pun digunakan.
 
Sungguh benar Firman Allah SWT: "Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya, ucapannya itu tiada lain adalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya), yang diajarkan kepadanya oleh (Jibril) yang sangat kuat." (Surah an-Najam, ayat 3-5)

No comments:

Post a Comment