Perbuatan
mengejek, merendah-rendahkan atau menghina seseorang dari aspek rupa fizikal
dipanggil sindir badan atau ejekan tubuh. Dalam bahasa Inggeris atau istilah
yang lebih kerap digunakan ialah ‘body shaming’.
Perbuatan
ini memang sudah lama berlaku. Malah, di kalangan masyarakat telah wujud gelaran berbentuk sindir badan sehingga
melekat pada nama contohnya seperti Ali Botak, Bidah Gemuk, Mamat Hitam dan
sebagainya.
Gelaran
itu mungkin pada awalnya sekadar sebagai jenaka. Pemilik badan mungkin pada
awalnya tidak suka kepada gelaran itu, tetapi lama kelamaan sudah lali dengan
sindiran itu dan kemudian ‘bangga’ dengan gelaran itu sehingga menjadi identiti
nama untuk mudah dikenali.
Namun,
dalam banyak keadaan, perbuatan sindir badan memberi kesan buruk kepada individu
sehingga ada kes bunuh diri kerana tidak tahan dengan sindiran.
Kementerian
Kesihaan Malaysia menjelaskan bahawa perlakuan mengejek, menghina, memalukan
dan mengkritik orang lain berkenaan tubuh badannya boleh menjejaskan kesihatan
mental mangsa.
Sebab
itu, jangan sekali-kali melakukan sindir badan kepada sesiapa sahaja. Tentu
sekali tiada siapa yang inginkan bentuk badan atau keadaan fizikalnya yang
dianggap tidak menarik dan kekurangan dijadikan bahan ejekan dan sindiran.
Perlakuan
ejekan tubuh tidak hanya berlaku secara lisan iaitu secara bersemuka, tetapi
juga melalui gajet dan aplikasi. Contohnya, melalui komen di media sosial yang
semakin meluas dilakukan hari ini, sejajar perkembangan teknologi terkini.
Ejekan
tubuh didefinisikan sebagai perbuatan memalukan seseorang atau diri sendiri
melalui ejekan dan kritikan terhadap bentuk tubuh, warna kulit, penampilan,
pekerjaan serta kekurangan dialami mereka.
Walaupun
niat pelaku sekadar bergurau, memberi nasihat atau menunjukkan keprihatinan, ia
tidak sepatutnya berlaku kerana boleh mengguris perasaan, merendahkan maruah
dan menyebabkan ‘mangsa’ hilang keyakinan diri.
Tahukah
anda, perbuatan ejekan tubuh atau body shaming sebenarnya salah satu kesalahan
jenayah siber?
Kesalahan
itu termaktub di bawah akta Sekyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia
1998 (Akta 588). Jika didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau
penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
Mangsa
boleh membuat laporan polis atau kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia
Malaysia (SKMM). Akta berkenaan menjurus kepada kesalahan di media sosial, jika
mereka yang melakukan kesalahan di luar media sosial, mangsa boleh mengambil
tindakan mengikut akta berlainan.
Justeru,
masyarakat yang menjadi mangsa tidak harus turut menganggapnya sebagai satu gurauan
biasa dan turut sama tergelak tetapi seharusnya menentang agar tidak menjadi
satu kebiasaan kepada mereka untuk melakukan body shaming.
Bagi
mengatasi permasalahan etika ini, pendidikan awal harus diberikan kepada
generasi muda bukan sahaja di rumah dan prasekolah, tetapi juga diwujudkan
silibus dalam jadual waktu kelas secara mingguan pada peringkat sekolah rendah
bagi memberi pendedahan kepada pelajar kepentingan memelihara sivik serta
kemahiran berkomunikasi.
Kesimpulannya,
individu harus belajar menghormati dan tidak memandang rendah kepada sesiapa
sahaja demi menjamin keharmonian kehidupan masyarakat, selain cuba meletakkan
diri serta memahami perasaan orang jika mereka sendiri dilemparkan kata-kata
berbentuk ejekan tubuh.
Setiap
manusia tidak sempurna dan sama sahaja di mata Tuhan, tetapi yang membezakan
adalah amalan baik, jadi hentikanlah mengeluarkan kata-kata berbentuk ejekan
tubuh.
No comments:
Post a Comment