Monday 8 February 2021

TENTERA MALAYSIA PADA TAHAP MEMBANGGAKAN

Rakyat harus bersyukur dengan keamanan dikecapi sekarang. Kehidupan seharian dilalui dengan aman tanpa rasa takut dan curiga tentang keselamatan diri. Rakyat bebas bergerak ke mana sahaja. 

Keadaan ini tidak dapat dirasai di banyak negara lain. Pertempuran dan pembunuhan berlaku di mana-mana. Rakyat dalam ketakutan tentang nasib keselamatan diri dan keluarga yang bila-bila masa mungkin menjadi mangsa kekejaman manusia tidak berperikemanusiaan.

Malaysia diakui di antara negara paling aman dan selamat. Justeru, proses kemajuan negara dapat dilakukan dengan teratur tanpa gangguan daripada kumpulan pengganas atau ancaman negara lain. 

Keamanan ini wujud hasil kejayaan angkatan tentera melumpuhkan kekuatan pengganas komunis yang memberi tekanan hebat kepada keselamatan negara. Negara mengiystiharkan Darurat dari tahun 1948 hingga 1960 akibat angkara komunis. 

Kejayaan angkatan tentera ‘memaksa’ pengganas komunis meletak senjata merupakan kejayaan besar. Malaysia satu-satunya negara di dunia mampu menamatkan pengaruh pengganas komunis. 

Kejayaan Malaysia menamatkan peperangan pengganas komunis berlainan dengan jatuhnya fahaman komunis di beberapa negara. Di negara berkenaan, fahaman komunis  sistem pentadbiran dan menjadi pemerintah. Sebaliknya di Malaysia, komunis merupakan pengganas yang melakukan penentangan bersenjata.

Keupayaan angkatan tentera Malaysia menjadi sanjungan. Rakyat menghargai dan berterima kasih kepada jasa-jasa tentera. Anggota tentera menjadi wira, dihormati dan dikagumi pengorbanan demi mempertahankan negara. 

Bukan sedikit tentera terkorban di medan pertempuran. Tidak kurang juga  mengalami kecederaan ketika menjalankan tugas menjejak dan menghapuskan pengganas komunis. 

Sejarah juga mencatatkan jasa tentera mempertahankan negara ketika konfrantasi dilancarkan oleh Indonesia. Biarpun diganyang oleh satu kuasa lebih kuat dan ramai, tentera kita mampu mengekang niat busuk Presiden Sukarno. 

Sekarang negara aman damai. Tidak ada sengketa atau tindakan yang memerlukan tentera digerakkan sepenuhnya. 

Jika ada tentera terlibat dalam satu keadaan, ia sekadar satu ‘sentuhan’ kecil. Paling terbaru kes mempertahankan perairan di Sabah. Kekuatan tentera kita memang diakui berkesan menggerumkan mana-mana pihak sengaja melakukan onar di tanah berdaulat ini. 

Hakikatnya, tentera masih menjalankan tugas mempertahankan negara. Peranan tentera bukan sahaja bertempur di medan peperangan. Angkatan tentera mempunyai pelbagai kemahiran dan lojistik yang membolehkan menyumbangkan khidmat dalam apa juga bidang. 

Selain meneruskan siapsiaga dan latihan, tentera terus menyumbangkan khidmat untuk kepentingan semua. 

Tentera masih terlibat dalam gerakan mengawal keselamatan negara. Di perbatasan sempadan negara, di tengah belantara, pulau maupun lautan, tentera sentiasa siapsedia menghadapi apa juga ancaman. 

Biarpun Parti Komunis Malaya telah meletak senjata, tidak bermakna ideologi komunis hilang terus dalam pemikiran mereka. Tidak dinafikan, gerakan ini mungkin kembali aktif jika didapati pertahanan negara dalam keadaan lemah. 

Bagi memastikan bekas pengganas sentiasa takut kepada kekuatan tentera, maka perlu tentera sentiasa diperkemaskan dan mempunyai kemampuan menghadapi segala ancaman yang mungkin. 

Ia juga ditunjukkan kepada anasir-anasir luar bahawa kita mampu mempertahankan jika diganggu. Biarpun ASEAN diiystiharkan rantau bebas, aman dan berkecuali, banyak perkara boleh mengacam keselamtan negara.

Oleh itu, sebarang perkembangan tentera negara ASEAN sering menjadi perhatian jiran lain. Masing-masing negara ingin mempunyai kemampuan melebihi jirannya atau setidak-tidaknya setanding. 

Justeru, negara perlu sentiasa menyedia satu angkatan tentera kuat dan mampu mempertahankan negara. Negara tidak boleh mengambil mudah sebarang ancaman dan tidak boleh mempercayai negara jiran dalam soal keselamatan.

Untuk menyediakan tentera yang kuat tidak boleh dilakukan dalam tempoh singkat. Latihan berterusan dan pembentukan profesionalisme tinggi amat perlu bagi membentuk angkatan tentera serba mampu bertindak dalam semua bentuk ancaman, khususnya dalam dunia melibatkan persenjatan canggih.

Latihan dilakukan oleh tentera meliputi segala aspek seperti mana dalam keadaan peperangan sebenar. Segala kekuatan fizikal dan minda ditumpukan untuk menjalani latihan agar realistik dan memberi pendedahan berguna.

Kita tidak dapat menjangkakan ancaman yang bakal datang. Pengalaman pencerobohan di Lahad Datu yang berlaku bermula 11 Febuari 2013 hingga 24 Mac 2013 perlu dijadikan pengajaran tentang eleman ancaman yang boleh berlaku dalam pelbagai sudut.

Dalam keadaan negara diancam pandemik Covid-19, anggota tentera menjadi sebahagian barisan hadapan melaksanakan tugas dalam memastikan SOP dipatuhi. Anggota tentera bertugas bersama-sama Polis dan agensi lain di Sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh negara.

Selain itu, aset TUDM dipertanggungjawbkan melaksanakan misi penghantaran bekalan perubatan ke Sabah. Kor Kesihatan pula melaksanakan misi operasi Hospital Medan untuk menyediakan perkhidmatan perubatan kepada rakyat.

Adalah tidak wajar sekiranya ada pihak menuduh anggota tentera hanya tidur makan sahaja. Sikap biadap dan angkuh itu bukti tidak mengenang budi pengobanan anggota tentera.

Anggota tentera sepanjang masa dalam keadaan siapsiaga. Mereka menjalani latihan yang tidak kurang memerlukan kekuatan tenaga dan ada yang terkorban ketika menjalani latihan.

Latihan yang berterusan diperlukan memandangkan cabaran dihadapi anggota tentera sekarang tidak sekadar memerlukan kekuatan fizikal semata-mata, tetapi juga kemahiran dalam pengendalian persenjataan dan peralatan yang semakin canggih.

Aspek pembelian atau perolehan aset ATM memang satu perkara yang penting diberi perhatian. Aset dan persenjataan moden amat penting bagi meningkatkan kemampuan ATM dalam memperkukuhkan dan mempertingkatkan kawalan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan perairan serta daratan negara.

Tanpa peralatan moden dan menepati kegunaan semasa, amat sukar untuk ATM melaksanakan tugas dengan berkesan biarpun mempunyai anggota yang mahir dan berdedikasi melaksanakan tugas.

ATM sentiasa menekankan aspek meningkatkan keupayaannya dengan pembelian aset-aset baharu untuk menggantikan aset yang telah lama digunakan dalam ATM, selain mendapatkan peralatan baharu yang menepati keperluan semasa.

Kerajaan juga akan menambah pembelian dron, bot pemintas yang akan dibeli oleh ATM, semua ini akan memperkukuhkan kawalan di kawasan sempadan negara.

Tahun ini dan beberapa tahun mendatang, ATM akan mendapat beberapa aset pertahanan moden untuk digunakan dalam ketiga-tiga cabang perkhidmatan Darat, Laut dan Udara.

Awal tahun ini, TLDM telah menerima Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship) kedua bermula menerima penyerahan fizikal LMS yang dinamakan SUNDANG itu di Wuchuan Shipbuilding Industry Co Ltd Wucang Port, Qidong, Shanghai, China.

Penyerahan itu dilakukan setelah melepasi beberapa penilaian dan pemeriksaan oleh Jawatankuasa Penerimaan Akhir (JKPA) yang diketuai oleh Kepten Abdullah Hadi Tan Abdullah TLDM pada 14 Januari 2021.

Tentera Darat dijangka menerima enam helikopter jenis MD530G secara berperingkat mulai Jun tahun ini untuk digunakan dalam Pasukan Udara Tentera Darat.

Untuk TUDM pula telah diluluskan tender pembelian ‘Maritime Patrol Aircraft’ (MPA),‘Unmanned Aircraft Systems’ (UAS) dan ‘Ground Based Radar’.

Selain itu, kerajaan juga telah meluluskan pemohonan sewaan helikopter bagi menggantikan helikopter Nuri yang ditamatkan perkhidmatan.

Untuk meningkatkan kuasa tembakan, sebanyak 18 laras sistem artileri LG1 Mark III Nexter 105mm (Nexter LG1 105mm) buatan Perancis bakal diserahkan kepada Tentera Darat bagi menggandakan kekuatan pasukan itu.

Perolehan Nexter dibekalkan kepada Rejimen Pertama Artileri Diraja (1 RAD Para) dengan jumlah keseluruhan akan ditambah secara berperingkat-peringkat.

Ia bagi menggantikan sistem artileri sedia ada iaitu Oto Melara L5 Pack Howitzer 105mm yang telah digunakan sejak 50 tahun lalu.

Meriam yang banyak berjasa ini telah menjadi tulang belakang medan tempur sepanjang operasi TD memerangi pengganas komunis sehinggalah semasa pertempuran di Lahad Datu.

Pemilihan sistem artileri ini sekali gus menamatkan program penggantian meriam baharu TD yang telah dirancang sejak pertengahan tahun 90-an.

Nexter LG1 105mm direka bagi operasi pasukan atur gerak cepat selain boleh ditunda menggunakan kenderaan pacuan empat roda, dibawa menggunakan helikopter atau digugurkan dengan payung terjun.

Bentuknya yang kompak dengan berat kira-kira 1,650 kilogram sesuai untuk dioperasikan mengikut geografi negara ini.

Penyerahan sistem artileri LG1 Nexter 105mm juga memberi gambaran bahawa cadangan TD untuk membesarkan lagi kekuatan RAD akan berjalan sepertimana dirancang.

Melalui Belanjawan 2021 yang diumumkan baru-baru ini, Kementerian Pertahanan menerima sebanyak RM15.86 bilion di mana RM1.6 bilion bagi perolehan aset baharu manakala penyelenggaraan aset utama pula berjumah RM2.3 bilion.

Pastinya pihak Kementerian Pertahanan di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lebih arif untuk menguruskan perbelanjaan tersebut bagi terus memperkasakan ATM demi melindungi kepentingan negara.

No comments:

Post a Comment