Monday 22 February 2021

PEMIMPIN BAIK MENDENGAR KEHENDAK AHLI PARTI

Pemimpin politik yang baik ialah mengutamakan pandangan dan denyut nadi ahli di akar umbi. Mendengar setiap rintihan dan suara rakyat. Mereka tidak hanya mementingkan kedudukan dan kuasa untuk kepentingan diri sendiri.

Wakil rakyat bermakna wakil yang dipilih oleh rakyat. Mereka perlu bertindak mengikut kehendak pengundi di kawasan masing-masing. Kerusi yang mereka menangi adalah atas nama parti yang mereka wakili. Lainlah jika mereka bertanding sebagai calon bebas.

Ahli UMNO rata-rata sudah menyatakan rasa tidak senang dengan layanan pemimpin Parti Bersatu Malaysia (Bersatu), terutamanya presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Perdana Menteri Malaysia.

UMNO sebagai rakan kongsi kuasa dalam Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara dilihat dipinggirkan dalam merencanakan sesuatu agenda mentadbir negara, walaupun sebenarnya UMNO adalah pemegang taruh kerusi terbanyak dalam PN.

Ahli UMNO di peringkat akar umbi tidak senang dengan sikap Muhyiddin yang dilihat memperkecilkan keupayaan UMNO, bahkan melalui gerakan-gerakan tertentu yang dilakukan pemimpin Bersatu seakan-akan berusaha untuk menghapuskan UMNO.

Mendengar keluh kesah ahli UMNO, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ahli Parlimen Machang mengambil keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan PN.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, turut meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kerana jawatan itu adalah lantikan politik.

Tindakan menarik sokongan dan meletak jawatan itu adalah atas memperjuangkan prinsip parti serta maruah Barisan Nasional (BN).

Memang penarikan sokonga terhadap kerajaan PN tidak lagi membawa apa-apa erti dalam menjatuhkan kerajaan dan perlunya diadakan pilihan raya umum disebabkan Pengiystiharan Darurat, namun tindakan itu perlu dilihat dari sudut positif iaitu kerajaan PN sudah kehilangan sokongan ahli parlimen.

Isu memutuskan hubungan dan Bersatu bukan perkara terpencil. Lebih separuh daripada Bahagian UMNO di seluruh negara telah menyatakan pendirian untuk tidak berkerjasama dengan parti berkenaan.

Yang terpencil dan ganjil sekarang ini ialah apabila ada pemimpin UMNO yang beriya-iya untuk mempertahankan kerjasama yang berlaku setelah runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Tahniah kepada Ahmad Jazlan yang berpegang kepada prinsip memperjuangkan parti serta maruah BN.

No comments:

Post a Comment