Sunday 28 February 2021

KEDUDUKAN MUHYIDDIN BELUM SELAMAT

28 Feb 2021 - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon, kedua-duanya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dokumen itu ditandatangani dan diserahkan kepada Muhyiddin selepas sesi pemukiman anggota Jemaah Menteri sempena setahun kerajaan PN di Putrajaya.

Terdahulu, media melaporkan peletakan jawatan Sng sebagai Ketua Parti Keadilan (PKR) Sarawak melalui satu pengumuman yang dibuat melalui sidang video semalam.

Langkah dua ahli Parlimen PKR melompat parti menyokong Muhyiddin hari ini dilihat sebagai ‘oksigen’ untuk membantu Muhyiddin dapat terus bernafas mengekalkan kedudukan sebagai perdana menteri dan mengelak kerajaan PN ranap.

Senario ini lanjutan Yang Dipertuan Agong telah menitahkan bahawa Parlimen boleh dibuka semasa darurat atas nasihat Perdana Menteri. Justeru, tiada sebab kukuh untuk Muhyiddin menangguhkan persidangan Parlimen dalam masa terdekat tanpa perlu menunggu tempoh tamat Darurat 1 Ogos 2021.

Jika Parlimen dipanggil bersidang, maka Muhyiddin tahu dia tidak lagi boleh mengelak daripada berhadapan dengan ahli-ahli Parlimen dalam masa terdekat ini.

Oleh itu, sebelum Parlimen dibuka, Muhyiddin perlu sekurang-kurangnya mendapatkan majoriti mudah 112 ahli Parlimen untuk menyokongnya daripada hanya 110 orang ahli Parlimen yang dia ada sekarang.

Jika tidak, tanpa majoriti, dia tidak akan ada keabsahan terutama dari segi moral untuk berbuat apa-apa di Parlimen termasuk mengarahkan Speaker untuk tidak membenarkan usul undi tidak percaya terhadapnya.

Tindakan Larry Sng Wei Shien dan Steven Choong Shiau Yoon menyatakan sokongan kepada Muhyiddin bukan satu kejutan. Sebelum ini, kekuatan Bersatu ada disokong oleh ahli yang lompat parti. Jadi, tidak keterlaluan jika dikatakan ada sebab tertentu yang membawa kedua-duanya sanggup menyokong Muhyiddin.

Jika amalan lompat parti berterusan, iklim politik Malaysia terus akan panas dan tidak stabil. Jika ada yang boleh mengubah sokongan kepada Muhyiddin, maka akan ada pula yang menarik sokongan.

Sebelum ini, dua Ahli Parlimen telah menarik sokongan terhadap Muhyiddin iaitu Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz.

Hari ini Muhyiddin mendapat kembali sokongan majoriti mudah 112 Ahli Parlimen, namun belum tentu esok lusa. Bila-bila masa mungkin akan ada ahli parlimen lain pula menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin.

Kalau keadaan ini berlaku, tentu sekali kedudukan Muhyiddin umpama seperti telur di hujung tanduk.

1 comment:

  1. jadilah, dah setahun dah dia pegang!

    ReplyDelete