Thursday 4 March 2021

UMNO AMBIL PENDIRIAN TIDAK BERSAMA BERSATU PADA PRU15

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah serpihan daripada UMNO. Pemimpin dan ahli Bersatu menjadi musuh politik UMNO sepanjang menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu sehingga UMNO ditujuk jalan keluar dari Putrajaya pada 9 Mei 2018.

Pasca PRU Ke 14, Bersatu masih musuh politik UMNO, malah lebih parah lagi apabila Bersatu ‘mencuri’ beberapa orang Ahli Parlimen UMNO yang melompat parti.

UMNO dan Bersatu hanya menjadi rakan politik untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN). Itupun atas dasar kerjasama untuk membentuk kerajaan PN, bukan kerjasama gerak kerja gabungan parti politik untuk menghadapi pilihan raya.

Pun begitu, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, wujud kerjasama antara UMNO (atas nama BN) dan Bersatu melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang turut disertai Parti Bersatu Sabah (PBS).

Pengalaman PRN Sabah banyak mengajar erti sebenar hubungan UMNO dan Bersatu. Bersatu dianggap telah tikam belakang UMNO. Bersatu bertindak menjadi ‘abang besar’ membuli UMNO.

Berdasarkan kepada pengalaman di PRN Sabah, menambah lagi kemungkinan tidak wujud kerjasama UMNO dengan Bersatu dalam PRU Ke-15.

Tambah lagi, UMNO tidak bersedia untuk menyerahkan mana-mana kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya pada PRU Ke-14 kepada Bersatu yang mana kerusi tersebut atas nama Bersatu setelah berlaku lompat parti.

Kemuncak keputusan UMNO tidak akan berkerjasama dengan Bersatu ialah surat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin, bertarikh 26 Febuari 2021 memaklumkan mengenai keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang mengambil ketetapan tiada kerjasasama dengan Bersatu pada PRU Ke-15.

Pun begitu, turut diputuskan MKT UMNO kerjasama dalam kerajaan PN diteruskan sehingga Parlimen dibubar.

Keputusan tidak mahu berkerjasama dengan Bersatu bukan dibuat oleh MKT UMNO semata-mata, tetapi ia adalah kehendak dan keputusan dari ahli akar umbi.

Kekuatan UMNO adalah dari ahli akar umbi yang terus setia biarpun UMNO telah hilang kuasa.

Kesetiaan ahli akar umbi lebih ikhlas dan murni berbanding sikap bekas pemimpin UMNO yang terus melompat parti selepas UMNO hilang kuasa.

Jadi, amat tepat keputusan MKT UMNO yang mendahului suara akar umbi berbanding keinginan beberapa pemimpin UMNO yang ingin kekal berkerjasa dengan Bersatu.

Keputusan MKT UMNO tidak mahu berkerjasama dengan Bersatu pada PRU Ke-15 memberi semangat baharu dan keyakinan kepada ahli akar umbi untuk terus berjuang mengembalikan kedudukan UMNO/BN menerajui kepimpinan negara. 

No comments:

Post a Comment