Monday 3 October 2022

ANGGOTA TENTERA TIDAK TAHU MAKSUD ‘NAAFI’

 
Dalam tradisi tentera, ada satu perkataan yang sering disebut iaitu ‘NAAFI break’ (sebutan ‘naefi’). NAAFI break adalah merujuk kepada makan selepas sarapan pagi atau sebelum makan tengah hari. Dalam bahasa Malaysia baku disebut kudapan iaitu makanan ringan seperti minuman kopi dan kuih-muih yang dimakan sekadar mengalas perut dalam sesuatu majlis antara waktu minum pagi dan tengah hari.

Selain NAAFI break, perkataan NAAFI juga digunakan sebagai satu jenama atau nama kedai serbaneka yang terdapat di kawasan kem atau pangkalan tentera.

Apa maksud ‘NAAFI’? NAAFI adalah singkatan kepada perkataan Navy, Army, and Air Force Institutes.

NAAFI sebenarnya adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh kerajaan British pada 9 Disember 1920 untuk menjalankan aktiviti perniagaan yang diperlukan oleh anggota dan keluarga Angkatan Tentera British. 

Aktiviti tersebut meliputi penyediaan perkhidmatan  kelab, bar, kedai, pasar raya, dobi, restoran, kafe dan kemudahan lain di kebanyakan pangkalan tentera British dan juga kantin di atas kapal Tentera Laut Diraja.

Pada peringkat awal penubuhan, pegawai tentera ‘ditegah’ menggunakan perkhidmatan NAAFI kerana kemudahan yang disediakan adalah lebih bersifat memenuhi keperluan anggota lain-lain pangkat (LLP), sedangkan pegawai telah mempunyai kemudahan ‘wisma’ dan keistimewaan lain.

Kakitangan NAAFI yang berkhidmat di atas kapal adalah sebahagian daripada Perkhidmatan Kantin Tentera Laut (NCS), memakai pakaian seragam tentera laut, tetapi kekal sebagai orang awam biasa.

Kakitangan NAAFI juga boleh menyertai Institut Pasukan Ekspedisi (EFI), yang menyediakan kemudahan NAAFI di zon perang. Anggota EFI adalah anggota Simpanan Tentera Darat dan memakai pakaian seragam tentera. Kakitangan NCS juga boleh menjadi sukarelawan untuk menyertai Tentera Laut Diraja apabila ia meneruskan perkhidmatan giat.

Sumbangan terbesar NAAFI adalah semasa Perang Dunia Kedua. Pada April 1944 NAAFI mengurus 7,000 buah kantin dan mempunyai 96,000 kakitangan. Ia satu pertambahan ketara berbanding kurang 600 buah kantin dan 4,000 kakitangan pada tahun 1939.

Disebabkan anggota tentera selalu makan kudapan di kantin NAAFI, maka ia dipanggil NAAFI break. Anggota tentera bujang atau yang tinggal di berek biasanya akan bersarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam di rumah masak yang dikendalikan oleh anggota tentera sendiri.

Maka, istilah tersebut terus digunakan di kalangan tentera sehingga sekarang, terutama di kalangan pegawai dan pegawai tidak tauliah kanan (PTTK) yang makan kudapan di Wisma Perwira (untuk pegawai) dan Wisma Bintara (untuk PTTK) atau tempat-tempat yang ditetapkan. NAAFI break dianggap 'wajib' kepada setiap pegawai dan PTTK pada waktu kerja. 

Di Malaysia, NAAFI beroperasi berikutan ada tentera British berkhidmat sepanjang penjajahan di sini. Malah ia terus beroperasi menggunakan identiti tersebut sehingga sebelum 7 Julai 1983. Pada 7 Julai 1983, nama NAAFI di Malaysia telah ditukar kepada PERNAMA.

Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) telah ditubuhkan pada 7 Julai 1983 menurut Perintah Lembaga Tabung Angkatan Tentera 1983, P.U. (A) 278 bagi mengambil alih sepenuhnya operasi perniagaan runcit NAAFI (Navy, Army and Air Force Institute).

Ianya merupakan sebuah perbadanan milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di bawah peruntukan Seksyen 23 Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 untuk menjalankan aktiviti perniagaan peruncitan, pengedaran, pemborongan, import-eksport, sewa-beli barangan dan juga penyediaan khidmat pengurusan.

Pada awal penjenamaan NAAFI kepada PERNAMA, ia cukup terkenal kerana menyediakan baragan pada harga yang murah kerana barangan yang dijual tidak dikenakan cukai. Barangan peralatan elektrik, coklat, minuman dalam tin dan barangan import memang dijual dengan harga jauh lebih murah berbanding harga di luar.

Namun, sekarang ini PERNAMA dianggap tidak ubah seperti kedai atau pasar lain dari segi tawaran harga, kecuali barang-barang tertentu yang dianggap masih murah berbanding harga di tempat lain.

No comments:

Post a Comment