Wednesday 22 January 2020

SIKAP BURUK BUANG SAMPAH KETIKA HIKING

Mendaki bukit atau hiking memang memerlukan kekuatan fizikal dan mental. Mereka yang berjaya mendaki sesuatu puncak bukit atau gunung memang layak diucapkan tahniah kerana berjaya melakukan sesuatu yang memberi kebaikan kepada diri sendiri.

Di kalangan pendaki tegar yang sudah menjadikan hiking hobi atau aktiviti berkala, mereka memang faham etika menjaga kebersihan sepanjang laluan dan tempat hiking.

Bungkusan yang dibawa seperti plastik dan kertas tidak akan dibuang merata-rata. Jika mereka mampu membawanya sempai ke puncak, jadi tentu tidak sukar untuk membawa turun.

Namun sikap ini masih tidak diamalkan di kalangan majoriti pendaki Bukit Panau. Sikap tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-mata masih terjadi.

Mungkin sedikit 'jurus' atau bertanggungjawab ialah apabila mereka melonggokkan sampah di satu tempat. Sampah diletakkan di situ dengan harapan ada orang lain akan memunggutnya.

Mengapa sikap sedemikian wujud. Mengapa perlu mengharapkan ada pihak lain memunggutnya?

Bukit Panau adalah tempat awam yang tiada pihak menguruskan atau mendapat keuntungan daripada kehadiran pendaki. Yang ada sekarang adalah satu jawatankuasa yang dipanggil 'Urusestia Bukit Panau' yang menjalankan tugas secara sukarela demi untuk kemudahan pengunjung ke Pukit Panau.

Adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk menjaga kebersihan. Jika pendaki boleh membawa bekas air dan bekas makanan yang ketika ada isinya lebih berat, mengapa tidak boleh dibawa pulang bekasnya itu yang pastinya lebih ringan dan tidak memerlukan ruang lebih untuk disimpan di dalam bag atau dipegang di tangan.

Jadilah rakyat yang bertanggungjawab dan berhemah dalam menjaga alam sekitar. Semaikan nilai-nilai murni dalam diri.

Bawa bekas makanan mahupun minuman bersama-sama semasa mendaki, dan bawa bekas sama turun sampai ke bawah. Buang di tempat sampah yang disediakan. Bahkan lebih elok jika dibawa pulang. Sampah itu hak anda dan tanggungjawab anda. 

Nama Bukit Panau terkenal di Kelantan. Bukit Panau terletak di antara Pasir Mas dan Tanah Merah. Kedudukan Bukit Panau berhampiran jalan utama memudahkan ia dilihat dan dikunjungi. Apatah lagi ia bukit tunggal di kawasan itu. 

Bukit Panau sebenarnya terletak di dalam jajahan Pasir Mas. Namun, ramai orang menyangka bukit itu terletak di dalam jajahan Tanah Merah kerana berhampiran bukit itu terdapat sebuah kampung yang dikenali Kampung Bukit Panau yang sememangnya berada dalam jajahan Tanah Merah.

Sebut sahaja Bukit Panau, maka tergambar Tanah Marah. Malah, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Panau terletak dalam Parlimen Tanah Merah.  

Untuk mendaki Bukit Panau yang berketinggian 255 meter dari aras laut itu tidak sukar kerana terdapat trek bersimen bercampur tar yang digunakan oleh syarikat telekomunikasi untuk menyelenggara menara pemancar. Bagaimanapun, bagi yang ingin cabaran pendakian laluan hutan boleh memilih beberapa laluan yang jarang digunakan, kecuali oleh pendaki tertentu.

Pendakian ke puncak Bukit Panau mengambil masa antara 30 minit sehingga sejam mengikut kelajuan dan kemampuan fizikal pendaki.

Pemandangan dari puncak Bukit Panau amat menarik dengan berlatar belakang perkampungan sekitar Pasir Mas dan Tanah Merah, serta Kota Bharu dan mampu sampai ke Bachok dan Machang. Paling menarik ialah pemandangan Sungai Kelantan yang mengalir dari selatan ke utara, selari dengan Jalan Pasir Mas -  Tanah Merah.

No comments:

Post a Comment