Monday 19 September 2022

CARA BERUSAHA MENCAPAI KEJAYAAN HIDUP

 
Untuk berjaya kita kena ada sasaran atau matlamat. Satu sikap orang berjaya ialah tidak ambil peduli akan gosip dan urusan manusia lain. Tidak peduli tenang kata-kata negatif daripada orang sekeliling. Prinsip mereka ada aku kesah. Tingkatkan hidup tanpa banyak sangat ambil tahu urusan orang.

Prinsip tidak ambil peduli tentang orang sekeliling bukan bermakna hanya mementingkan diri sendiri. Kita tetap ambil peduli tentang perkara yang baik. Tetap membantu jika ada yang perlu kepada bantuan. Tetap bertanya khabar tentang adik beradik, jiran tetangga dan rakan.

Tidak ambil peduli yang dimaksudkan ialah dalam hal urusan yang tidak mendatangkan faedah untuk kita ambil tahu mengenainya. Tidak ambil kisah tentang kehidupan mewah mereka. Tidak berdengki atau buruk sangka tentang apa yang mereka lakukan. Biarkan mereka dengan cara hidup mereka.  

Kita perlu amalkan kehidupan dalam orbit sendiri. Itu kehidupan yang paling indah dan selamat. Berputar tanpa melanggar sesiapa. Bergerak tanpa perlu menjaga tepi kain orang. Paling penting jangan sekali-kali menyelak kain orang. Dedah keburukan orang sana-sini. Semua apa yang orang lain buat tidak betul. Yang betul hanya diri dia.

Kena utamakan diri sendiri. Buat sesuatu yang membawa kepada kejayaan. Terus istiqamah dengan apa yang dilakukan. Jangan calarkan minda dengan kisah dongeng yang melingkari kehidupan orang lain. Kita ambil peduli hanya dalam hal-hal yang perlu sahaja.

Kekuatan terpenting dalam hidup adalah meyakini Allah SWT adalah satu-satunya  pemberi rezeki. Dia yang Maha Kuasa. Dia Maha Pengasih dan Penyayang. Buat perkara yang Allah suruh dan menjauhkan apa yang dilarang.

Tetapkan matlamat hidup dan teruskan perjalanan menuju apa yang diinginkan. Jika itu sudah terpeta dalam diri, insyha-Allah laluan kita akan selamat biarpun berdepan sejuta halangan. Suburkan jiwa dengan sentiasa ingat, rezeki itu di tangan Allah SWT dan Dia sebaik baik pemberi rezeki.

Terus berusaha dan berdoa demi satu kejayaan. Jangan biarkan api batin diri terpadam. Nyalakan dengan bara luar biasa dari dalam. Bara mahu berjaya demi keluarga tercinta dan membantu ramai manusia. Bertawakal dan berharap hanya kepada Alllah.

Jika ada halangan, jangan mudah berhenti. Cari cara untuk halangan itu tidak menjadi penghalang untuk terus maju. Cari jalan lain atau runtuhkan halangan itu. Asingkan diri dari rawa putus asa, sebaliknya kekal fokus kepada destinasi yang telah ditetapkan.

Rasa kecewa memang lumrah. Itu sifat semula jadi manusia. Jadikan rasa kecewa itu sekadar seketika. Ia perlu digantikan dengan semangat lebih membara. Lebih bermotivasi. Kuat usaha kerana yakin setiap usaha dilakukan akan mendapat balasan setimpal di sisi Allah.

Kehidupan di dunia ini akan jadi nikmat besar apabila punya keyakinan. Kekalkan keyakinan itu dan lakukan tanpa tangguh, terus berusaha.  

No comments:

Post a Comment