Wednesday 23 June 2021

TENGKU ALI SULTAN TERENGGANU YANG DITURUNKAN TAHTA

Tengku Ali Sultan Sulaiman diputerakan pada 24 Jan 1914 di Istana Tepi Bukit bersebelahan Bukit Puteri, Kuala Trengganu. Lebih dikenali sebagai Tengku Cantek, putera sulung kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dan Tengku Ampuan Mariam Sultan Ahmad Pahang.

Pada 29 Jan 1942 dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda (Raja Muda) Trengganu oleh Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dengan persetujuan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri.

Pada 26 September 1942, Sultan Ali Shah ditabalkan sebagai Sultan Trengganu yang ke 14 berikutan kemangkatan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah pada pukul 3.00 petang, 25 September 1942 di Istana Timur, Padang Negara Kuala Trengganu.

Majlis pengisytiharan dan pengumuman telah dijalankan oleh Datuk Bija Sura Sheikh Hassan Said Al-Yamani, Ketua Hakim dan Pengerusi Majlis Hal Ehwal Agama Islam Ngeri Trengganu.

Sultan Ali Shah hanya sempat berada di tampuk pemerintahan sehingga 5 November 1945.

Pada 10 November 1945, Sir Harold MacMichaeI selaku wakil British di Tanah Melayu memaklumkan status pemecatan Sultan Trengganu ini kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan di London kerana di syaki memihak kepada Jepun serta 'unsuitability'.

Peristiwa ini berlaku selepas British menguasai semula Tanah Melayu akibat Jepun tewas dalam Perang Dunia Ke-2.

Pada 27 Disember 1945, Akhbar The Times melaporkan Tengku Paduka Raja Ismail dilantik menggantikan Tengku Ali sebagai Sultan Trengganu yang baharu.

Keributan yang berlaku dalam Kesultanan Trengganu ini hanya melibatkan keluarga Diraja dan Pembesar, namun rakyat jelata patuh menerima apa sahaja yang di tetapkan oleh Kerajaan Terengganu dan British ketika itu.

Apa yang pasti pengganti Tengku Ali merupakan waris langsung kepada Sultan Zainal Abidin III sebagaimana termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Trengganu (1911).

Walau bagaimanapun apa yang telah berlaku tidak berupaya dipinda ataupun diubah semula dari lipatan Sejarah Kesultanan Terengganu.

Kepulangan British ke Tanah Melayu selepas Perang Dunia Ke-2 dengan melakukan tindakan drastik melalui penyingkiran 3 orang sultan dan raja melayu (Terengganu, Selangor dan Perlis) yang dilantik pada zaman Jepun sebagai bukti cubaan awal penguasaan mereka dengan memperkenalkan “Malayan Union” pada tahun 1946.

Pada 5 November 1945, seramai 13 orang kerabat diraja dan pembesar Terengganu mengadakan mesyuarat di Istana Maziah tanpa pengatahuan Tengku Ali sebagai Sultan Terengganu.

Penyingkiran Tengku Ali sebagai Sultan Terengganu pada 5 November 1945 berpunca daripada pelbagai sebab. Pertama, disebabkan pendiriannya yang anti-British dan juga sebagai seorang yang ‘actively collaborated with the enemy or have acted or spoken against the allied cause’.

Sungguhpun begitu, pada hakikatnya, penyingkiran Tengku Ali juga mempunyai kaitan dengan rancangan British untuk menjajah Negeri-Negeri Melayu melalui rancangan Malayan Union.

Pihak penjajah British sedar bahawa tidak semua raja-raja Melayu akan menyetujui rancangan itu lebih-lebih lagi Sultan Terengganu yang terkenal dengan sikapnya yang anti-British.

Penyingkiran Tengku Ali dari tahta telah memaksa raja-raja Melayu lain mengubah pendirian dan akur kepada kehendak British.

Walau apa pun yang berlaku terhadap dirinya, Tengku Ali masih menganggap penurunannya sebagai Sultan Terengganu pada tahun 1945 itu sebagai tidak sah kerana tindakan tersebut telah dilakukan tidak mengikut adab.

Beliau menganggap bahawa ‘Kerabat-kerabat diraja dan pembesar-pembesar negeri (Jumaah Menteri) yang menurunkan beliau dari takhta setelah terpedaya dengan permainan politik British. Beliau memang tidak sukakan British, walaupun belajar di Oxford.

Setelah turun dari tahta Tengku Ali menjalankan pelbagai tugas untuk menyara kehidupan beliau dan keluarga di mana Tengku Ali pernah menjadi pemandu kereta sewa/teksi.

Beliau juga pernah menjadi Tauke Wayang bergerak dari satu pekan ke pekan yang lain di seluruh Terengganu bersama anak sulungnya Tengku Abdul Halim.

Tengku Ali mangkat pada 17 Mei 1996 dalam usia 82 tahun dan dimakamkan di dalam kawasan Masjid Abidin, Kuala Terengganu. Perjuangannya mencari pengiktirafan sebagai Sultan Terengganu terputus di tengah jalan.

Beliau pernah membawa kes Tahta Kerajaan Terengganu ke Mahkamah tetapi nasib tidak menyebelahi beliau.

Apa yang terkilan di hati Tengku Ali adalah beliau tidak pernah diiktiraf sebagai Sultan Terengganu di mana seolah-olah selepas kemangkatan Sultan Sulaiman pada 25 September 1942, Terengganu tidak mempunyai Sultan sehingga bapa saudaranya, Tengku Ismail menaiki tahta sebagai Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 16 Disember 1945.

No comments:

Post a Comment