Thursday 15 February 2024

ITIK HAPUSKAN SIPUT GONDANG EMAS

 
Siput gondang emas menjadi musuh utama kepada petani padi di Malaysia. Siput gondang emas berasal dari Amerika Selatan. Ia kemudian telah tersebar hampir ke seluruh benua, termasuk Malaysia. Di Malaysia, siput gondang emas menjadi perosak utama tanaman padi, khususnya pada anak benih berusia kurang dari 40 hari.

Siput gondang emas pertama kali memasuki Malaysia menerusi langkah komersial, sebagai sumber makanan berprotein dan menjadi salah satu cara untuk kawalan rumpai. Namun, langkah ini tidak mendapat sambutan yang baik di kalangan penduduk tempatan.

Apabila nilai komersialnya merosot, siput gondang emas akhirnya dibuang ke dalam sistem pengairan tempatan tanpa mempertimbangkan kesannnya terhadap ekologi dan biodiversiti di habitat yang baru.

Siput gondang emas memperlihatkan ciri-ciri perosaknya dengan menyerang anak benih padi yang berusia di bawah 40 hari. Anak padi yang terdedah kepada serangan siput gondang emas menghadapi risiko kerugian yang serius, dengan peratusan kerosakan sawah yang mencapai tahap sehingga 93 peratus.

Salah satu cara kawalan secara biologi menghapuskan atau mengurangkan populasi siput gondang emas ialah melalui penggunaan itik penelur.

Penggunaan itik penelur yang yang diternak di kawasan sawah dapat mengawal pembiakan siput itu yang memusnahkan anak pokok padi di peringkat awal pertumbuhan.

Kaedah yang digunapakai itu dapat menghapuskan 90 hingga 95 peratus siput tanpa perlu menggunakan racun.

Itik penelur dewasa menjadikan anak siput sebagai makanan tambahan setiap hari sepanjang berada dalam kawasan sawah berair dan kering. Itik penelur memiliki kemahiran memburu anak siput untuk dijadikan makanan.

Menariknya, itik penelur yang makan siput gondang emas lebih sihat dan hasil telurnya lebih besar, terutama kuning telur. Telur itu menjadi pilihan pengusaha telur masim.

Dengan memelihara itik penelur di kawasan sawah bukan sahaja menyelamatkan anak padi daripada dirosakkan oleh siput gondang emas, pada masa sama petani mendapat hasil telur dan apabila itik tersebut tidak lagi produktif menghasilkan telur, itik itu boleh pula disembelih dan dijualkan dagingnya.

Dengan kata lain, usaha penanaman itik penelur di petak sawah dapat menjimatkan perbelanjaan membeli racun, mendatangkan hasil telur itik dan kemudian dagingnya pula boleh dijual. Inilah dinamakan serampang banyak mata.
 

No comments:

Post a Comment