Saturday 4 November 2023

JALAN TOK SEMIAN, KOTA BHARU

 
Jalan Tok Semian, Kota Bharu. Jalan ini bermula dari persimpangan Jalan Belakang Istana di hadapan pintu pagar Sekolah Kebangsaan Merbau, menuju ke tebing Sungai Kelantan melepasi Jalan Sultanah Zainab, Jalan Post Office Lama dan terus ke Jalan Atas Paloh sebagai penghujung. Panjang Jalan Tok Semian lebih kurang 800 meter.
 
Tok Semian adalah nama gelaran atau panggilan kepada jurutulis kepada Sultan Kelantan dan kerajaan Kelantan pada abad ke-19 hingga awal abad ke-20. Perkataan “semian” adalah berasal daripada bahasa Siam yang bermaksud “jurutulis”.
 
Pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II terdapat Pejabat Semian terletak di sbuah bangunan panyang diperbuat daripada kayu di hadapan Istana Balai Besar yang dikenali sebagai “Opis Panjang”.
 
Salah seorang Tok Semian ialah Wan Abdul Rahman bin Lebai Muda yang bertugas sebagai semian kepada Sultan Muhammad II (memerintah 1836 hingga 1886). Wan Abdul Rahman tinggal di kawasan Jalan Tok Semian.
 
Kawasan Jalan Tok Semian cukup terkenal pada masa dahulu kerana di kawasan tersebut menjadi tempat tinggal para ulama dan pelajar yang mencari ilmu di Masjid Muhammadi yang terletak tidak jauh darinya. Malah nama Tok Semian turut dianggap sebagai satu nama kampung untuk pengenalan nama kawasan tersebut.

No comments:

Post a Comment