Perkataan doa diambil dari Bahasa Arab yang
merupakan ‘nama terbitan’ (masdar) dari kata kerja (perbuatan) ‘Da’aa. Maksud
doa secara etimologinya (bahasa) bererti seruan, panggilan, ajakan atau
permintaan.
Dari segi terminologi (pengertian syarak), doa adalah ‘memohon kepada Allah SWT
dengan meminta kebaikan dari sisi-Nya dengan penuh ketulusan hati dan penuh
pengharapan.
Doa merupakan tali penyambung yang kukuh
antara hamba dan Rab-Nya. Doa merupakan satu bentuk ibadah kepada Allah SWT.
Doa juga merupakan satu bentuk zikir kepada Allah SWT. Maka, doa menjadi
senjata ampuh bagi setiap mukmin menghadapi realiti kehidupan.
Doa adalah permohonan atau pengucapan
seorang hamba dilakukan secara langsung dengan Allah SWT dan setiap rintihan
yang dimohon didengar Allah SWT. Allah SWT tidak suka kepada umat-Nya yang
tidak pernah memanjatkan doa kepada-Nya.
Firman Allah SWT dalam surah al-A’raaf ayat
55-56 yang bermaksud: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan
perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang melampaui batas. Dan
janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan
padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan penuh
pengharapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat
baik.”
Ketika menjelaskan perkara sama, bahawa
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada yang dapat mengubah
takdir selain doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan
memperbanyakkan amal kebajikan.” (Hadis riwayat Tirmizi)
Berdasarkan peringatan Rasulullah SAW ini,
ternyata kepada kita bahawa pengaruh doa itu amat hebat sehingga ia mampu
mengubah takdir Allah SWT dan alangkah hebatnya pengaruh amal kebajikan kerana
ia dapat memanjangkan umur seseorang.
Di saat manusia tidak dapat lagi berbuat
apa-apa, selepas habis daya usaha dan tiada sesiapa lagi yang mampu memberi
bantuan yang diperlukan, ketika itu manusia sedar bahawa sesungguhnya kehidupan
manusia tidak dapat dipisahkan daripada Allah SWT.
Kadangkala timbul pertanyaan, kita sering
berdoa tetapi diyakini doa kita tidak dimakbul Allah SWT?
Berdasarkan besar peranan doa dalam
kehidupan umat Islam, maka Islam meletakkan doa sebagai sebahagian daripada
ibadah kepada Allah. Dengan demikian permohonan doa itu hendaklah mematuhi adab
tertentu.
Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh
Abu Daud bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu sekalian berdoa untuk
kebinasaan diri, kebinasaan anak, dan janganlah pula berdoa untuk kebinasaan
harta benda lebih-lebih lagi jika waktu doa berkebetulan dalam waktu yang
mustajab”.
No comments:
Post a Comment