Monday, 22 March 2021

PLOT CERITA POLITIK MALAYSIA SENTIASA BERUBAH

Politik penuh drama yang plot ceritanya berubah-ubah. Tiada skrip dan pengarah dalam drama politik biarpun ada pihak-pihak ingin menjadi pengarah dan penulis skripnya.

Polimik dalam krisis politik kita hari ini ialah berkaitan dengan perbuatan mungkir janji dan khianat terhadap perjanjian yang telah disepakati di kalangan parti-parti komponen yang terlibat pada waktu mereka menubuhkan Pakatan Harapan (PH) dahulu untuk menghadapi PRU-14 sebagai satu gabungan.

Gabungan PH kini masih wujud, namun tanpa Bersatu. Akibatnya, tampuk pemerintahan PH jatuh hilang kuasa peringkat Pusat dan beberapa negeri.

Muafakat Nasional (MN) yang terdiri gabungan UMNO dan Pas, disertai dengan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO bersama MCA dan MIC serta PBRS, dicampur pula dengan sebahagian ahli Parlimen dari Bersatu dan GPS dari Sarawak dan sebahagian ahli Parlimen PKR yang mengubah sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, membentuk Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan Pusat.

Plot drama itu tidak pernah berlaku di negara kita. Ini kali pertama. Malaysia kini diperintah oleh gabungan parti untuk membentuk kerajaan Pusat. Menariknya dalam gabungan parti itu pula wujud gabunga parti. Ini kira parti dalam parti.

Entiti pertama dalam PN ialah Barisan Nasional (BN) yang disertai UMNO, MCA, MIC dan PBRS. PN itu sendiri adalah gabungan Bersatu, Pas, Gerakan, SAPP dan STAR. Satu lagi gabungan dalam gabungan PN ialah GPS yang terdiri PBB, PRS, PDP dan SUPP. Parti dalam GPS asalnya adalah parti komponen BN semasa PRU14.

Kerajaan PN digelar kerajaan 'pintu belakang' oleh mereka yang masih setia dengan PH. Lalu, ungkapan pengkhianat dilontarkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin yang dianggap sebagai punca kepada jatuhnya PH.

Inilah drama politik. Yang ingin bercakap tidak perlu kepada skrip dan tidak ikut pengarah. Babak-babak tidak perlu berturutan dan tidak perlu ada rasional atau lojik untuk meneruskan babak seterusnya.

Kemelut sekarang berkaitan hubungan UMNO dengan Bersatu. UMNO sejak awal telah menyatakan gabungan mereka dengan Bersatu dan parti-parti lain dalam kerajaan PN hanya setakat untuk menyelesaikan kemelut pemilihan Perdana Menteri dan seterusnya menubuhkan kerajaan Pusat.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat pengesahan bahawa tidak akan bersama Bersatu dalam PRU15 nanti. Keputusan itu tidak disenangi oleh sesetengah pemimpin UMNO yang dilihat proBersatu.

Ia turut sama mengheret Pas yang menjadi sebahagian Parti Perikanan Nasional dan pada masa menjadi kerjasama dengan UMNO melalui Muafakat Masional.

Pemimpin UMNO proBersatu menyerang pemimpin tertinggi UMNO lain yang kononnya mementingkan diri apabila menolak kerjasama dengan Bersatu. Sedangkan pada masa sama, mereka yang tidak ingin bersama Bersatu menuduh pemimpin UMNO proBersatu juga memperjuangkan kepentingan peribadi.

Jadi, pihak mana sebenarnya berjuang untuk kepentingan diri, berbanding kepentingan parti?

Perlu ditegaskan, keputusan tidak berkerjasama dengan Bersatu pada PRU15 adalah keputusan MKT yang berpaksikan kepada kehendak majoriti ahli akar umbi. Maka, kehendak proBersatu dianggap keputusan minoriti.

Tradisi dalam UMNO, sebarang keputusan dasar parti adalah diputuskan dalam MKT atau Persidangan Agung UMNO (PAU). Justeru, tradisi itu perlu dipatuhi semua pihak.

Politik di Malaysia sering bertukar plot cerita. Apabila plot cerita baharu timbul, orang tidak peduli lagi tentang plot cerita dahulu. Mereka lebih pentingkan untuk babak seterusnya.

Babak politik Malaysia tidak ada ‘kebenaran’. Ia adalah lakonan oleh watak-watak yang berusaha menentukan halatuju politik masing-masing.

Suhu politik Malaysia tidak pernah 'sejuk' dengan isu. Ia sentiasa hangat di media sosial dan parlimen kedai kopi. Habis satu babak, ia akan disambung dengan babak cerita lain. 

No comments:

Post a Comment