Monday, 11 June 2018

KENA PAKSA DIRI BUAT IBADAT

Dalam Islam tidak ada paksaan untuk orang yang bukan Islam menganut agama Islam atau menerima akidah Islam. Dengan sebab itu kita dalam Islam beriman, menerima dan meyakini suatu perkara iaitu pertama Islam mendasarkan kepada ilmu pengetahuan, bukan mendasarkan kepada paksaan.

Kedua, keyakinan dan ketiga ialah hatinya reda menerima apa yang dikemukakan kepada dia. Sebab itu kalau kita lihat dalam ayat al-Quran tugas para Nabi SAW terfokus iaitu menyampaikan, mengingatkan dan memberitahu kepada manusia.

Beriman kepada al-Quran satu daripada Rukun Iman. Apabila disebut beriman kepada al-Quran, ia membawa maksud beriman kepada apa sahaja yang ada di dalam al-Quran. Sebab itu Allah SWT mengherdik mereka yang memilih hukum selain al-Quran sehingga mungkin keluar pernyataan-pernyataan yang menyatakan hukum ini ketinggalan zaman dan sebagainya.

Ini kewajipan umat Islam, setiap yang mengaku muslim tidak boleh memilih-milih dan ia sudah berada di dalam kepompong Islam, maka ia terikat dengan apa sahaja peraturan yang ditetapkan oleh Islam.

Bila kita menerima Islam ertinya kita menerima kesemuanya. Jangan terima apa yang kita suka kerana kita manusia dan bukannya Tuhan dan yang mengetahui tentang kita keseluruhannya adalah Allah SWT. Dengan sebab itu, kita harus menerima Islam dengan secara reda, senang, ilmiah dan sebagainya.

Jika ada yang ingkar atau tidak melaksanakan hukum agama, jangan melatah melabelkan mereka dengan gelaran yang buruk. Sebaliknya, serulah agar mereka kembali melakukan tuntutan agama.

Firman Allah SWT: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (Surah an-Nahl, ayat 125).

Janganlah mudah mengkafirkan orang lain disebabkan kita tidak sealiran pendapat dan kefahaman terhadap sesuatu perkara. Adalah ditakuti nanti apa yang kita pegang itulah sebenarnya salah dan pihak yang dikatakan salah itu adalah benar. Perbanyakkan amalan muhasabah dari sebelum menghukum pihak lain bersalah.

Kefahaman seseorang terhadap agama tidak sama. Begitu juga tahap keimanan yang berbeza-beza. Di sinilah pentingnya kita saling menasihati dan mengingatkan agar melakukan perkara kebaikan dan menjauhkan amalan buruk.

Orang alim tidak sepatutnya bermegah dengan keilmuan dan keimanannya. Hati atau keimanan seseorang mudah dibalik-balikkan atau bertukar. Justeru, sentiasalah berdoa agar Allah memelihara dan mengekalkan keimanan kita.

Banyak beramal soleh, akan menguatkan iman kita. Jika kita berterusan dengan amal-amal soleh, Allah akan mencintai kita. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menerangkan bahawa Allah berfirman, “Hamba-Ku sentiasa bertaqarrub kepada-Ku dengan mengerjakan nafilah sehingga Aku mencintainya.” (Sahih Bukhari no. 6137)

Banyak melakukan berbagai macam ibadah bukan hanya membuat baju iman kita makin baru dan cemerlang, tapi juga menyediakan bagi kita begitu banyak pintu untuk masuk syurga.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menafkahi dua istri di jalan Allah, maka dia akan dipanggil dari pintu-pintu syurga: ‘Wahai hamba Allah, ini adalah baik.’ Lalu sesiapa yang menjadi orang yang banyak mendirikan solat, maka dia dipanggil dari pintu solat. Barangsiapa menjadi orang yang banyak berjihad, maka dia dipanggil dari pintu jihad. Barangsiapa menjadi orang yang banyak melakukan puasa, maka dia dipanggil dari pintu ar-rayyan. Barangsiapa menjadi orang yang banyak mengeluarkan sedekah, maka dia dipanggil dari pintu sedekah.“ (Riwayat Bukhari no. 1798)

Mengingati kematian dan kehidupan di akhirat juga satu motivasi untuk melakukan kebaikan. Kita sedar hidup ini tidak selama-lamanya. Akan tiba masanya kita menemui kematian dan seterusnya dibangkitkan di akhirat. Maka, itu mengingati mati satu cara memperkasakan keimanan dan meningkatkan amalan baik.

Rasulullah SAW bersabda: “Dulu aku melarangmu menziarahi kubur, ketahuilah sekarang ziarahilah kubur kerana hal itu boleh melunakan hati, membuat mata menangism mengingatkan hari akhirat, dan janganlah kamu mengucapkan kata-kata yang kotor.”

Rasulullah SAW bersabda: “Banyak-banyaklah mengingati penebas kelazatan-kelazatan, iaitu kematian.” (Tirmidzi no. 230)

Mengingat-ingat mati boleh mendorong kita untuk mengelakkan diri dari berbuat durhaka kepada Allah dan dapat melunakkan hati kita yang keras. Kerana itu Rasulullah menganjurkan kepada kita, “Kunjungilah orang sakit dan iringilah jenazah, niscaya akan mengingatkanmu terhadap hari akhirat.”

Melihat orang sakit yang sedang sakaratul maut sangat memberi bekas. Saat berziarah kubur, bayangkan keadaan orang yang sudah mati. Tubuhnya rosak membusuk. Ulat memakan daging, isi perut, lidah, dan wajah. Tulang-tulang hancur.

Bayangan seperti itu jika membekas di dalam hati, akan membuat kita menyegerakan taubat, membuat hati kita puas dengan apa yang kita miliki, dan tambah rajin beribadah.

No comments:

Post a Comment