Friday 30 December 2016

Ikut pemimpin yang benar

Rakyat wajib patuh kepada pimpinan dalam hal yang makruf selama mana tiada perintah melakukan kemaksiatan dan tiada kekafiran yang nyata. 

Kefasikan seorang pemimpin tidak menjadikan kita menanggalkan ketaatan kita terhadapnya dalam hal yang maruf. Melainkan zahir baginya kekufuran yang jelas.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wajib ke atas seorang muslim untuk mendengar dan taat (kepada pemerintah) pada apa-apa yang dia sukai atau dia benci, melainkan apabila penguasa tersebut menyuruh untuk melakukan kemaksiatan. Apabila dia menyuruh untuk melakukan maksiat, maka tidak boleh mendengar dan tidak boleh taat (dalam urusan maksiat tersebut).” (Hadis Riwayat Muslim no. 3423, al-Tirmidzi no. 1629)

Sekiranya kegagalan pemimpin dalam melaksanakan tugas, tidak semestinya dipaksa berundur.  Dalam sitem pemerintahan demokrasi, terdapat waktu di mana rakyat diberi hak untuk memilih pemimpin. 

Proses pilihanraya adalah kaedah untuk memilih pemimpin. Jika dirasakan seseorang pemimpin sedia ada tidak lagi sesuai terus memegang sesuatu jawatan, maka pemilih boleh menolaknya di kertas undi. Pada masa yang sama, pemimpin yang dipercayai dan diyakini dapat melaksanakan tugas kepimpinan dengan baik, wajar dipilih untuk melaksanakan tugas tersebut.

Sebarang isu skandal yang wujud perlu diselidik dengan betul-betul untuk memastikan kebenarannya. Jangan mudah menyalahkan pemimpin semata-mata dalam sesuatu isu. Proses kepimpinan negara amat kompleks dan melibatkan banyak peringkat. Jadi, tidak adil segala permasalahan dibebankan kepada seorang pemimpin saja.

Amalan menentang pemimpin secara kekerasan atau menyalahi proses biasa diamalkan dalam sistem pemerintahan negara boleh dianggap sebagai 'khawarij' sepertimana wujud pada zaman permulaan Islam dulu. 

Golongan ini banyak menimbulkan masalah kepada pemerintahan dan perpaduan umat Islam.

Banyak kitab para ulama firaq (kumpulan-kumpulan) yang membahaskan tentang "khawarij". Ia mencatatkan tentang celaan Nabi para sahabat dan para ulama ahli sunnah terhadap khawarij. Perlu dijelaskan sepertimana dibahasakan para ulama, khawarij tidak hanya merujuk kepada sikap mengangkat senjata.

Kata ulama besar Mazhab al-Syafie juga muhaddis tersohor al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani (w. 852H):

"Al-Khawarij "al-qa'diyyah" (yang duduk); mereka tidak menyeru manusia memerangi pemerintah (dengan senjata), namun mereka mengingkari pemerintah yang zalim dengan menyeru manusia kepada pendapat mereka yang memperelokkan serta memperindahkan sikap khuruj (keluar dari mentaati pemerintah)." (lihat: Tahzib al-Tahzib, oleh Ibnu Hajar, 8/114)

Difahami dari kata-kata Ibnu Hajar (w.852H), bahawa khawarij al-qa'diyyah adalah golongan yang melakukan provokasi juga menyebarkan persepsi supaya rakyat tidak mentaati pemerintah.

Kerana itu al-Imam Abu Daud (w.275H) menukilkan perkataan dari Abdullah bin Muhammad al-Sha'if bahawa:

"Khawarij al-Qa'diyyah adalah seburuk-buruk khawarij." (lihat: Masa'il al-Imam Ahmad, oleh Abu Daud, ms 271)

Dalam Islam membenarkan pemimpin ditegur. Namun ada cara dan adabnya perlu dilakukan. Menegur kesalahan pemerintah adalah wajib sama ada dalam sistem demokrasi seperti hari ini atau yang lainnya.

No comments:

Post a Comment