Friday 15 September 2017

AKIBAT MENJADI HAMBA KEPADA NAFSU

Mengapa manusia sanggup bersifat seperti haiwan untuk memuaskan nafsu? Menjadi hamba nafsu mengamalkan seks bebas. Itu cara hidup alam haiwan yang tidak kenal hukum hakam agama. Mengapa ada suami yang membenarkan isterinya berzina?  

Timbul perasaaan ghairah kepada bukan pasangan sendiri? 
Paling teruk lagi ada suami menjadikan isteri sebagai pelacur untuk mendapat wang? 

Semua perkara ini terjadi disebabkan manusia tidak menggunakan akal. Ketika itu nafsu lebih menguasai diri.  

Kedudukan manusia lebih mulia berbanding makhluk lain kerana dianugerahkan akal dan nafsu.  Akal membimbing nafsu agar tunduk kepada perintah Allah SWT dan takut melakukan perkara yang ditegah.  

Manakala sifat nafsu secara umumnya adalah liar dan sentiasa ingin melakukan perkara keseronokan dan lupa melakukan kebaikan.

Namun, nafsu yang dapat dijinakkan oleh akal akan sentiasa melakukan perkara kebaikan dengan bersungguh-sungguh. Inilah dikatakan nafsu mutmainnah yang melayakkan seseorang masuk ke syurga.  

Nafsu mutmainnah menjadikan seseorang sabar, tawakkal, pemurah, bertolak ansur, mesra, mudah berurusan, memahami masalah orang lain, tawaduk, pemaaf dan lain-lain sifat-sifat terpuji.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai nafsu yang tenang! Kembalilah kepada TuhanMu dalam keadaan redha dan diredhai, masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu.” (Surah al-Fajr, ayat 27)

Sedangkan nafsu ammarah sentiasa mendorong melakukan sifat-sifat keji yang menjijikkan, tamak, dengki, pemarah, sombong, kedekut dan pelbagai keburukan lain. Apa saja perkara yang ditegah, maka perbuatan itulah yang akan dilakukan.

Perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah Yusuf, ayat 53 yang bermaksud: “Sesungguhnya nafsu ammarah itu sangat mengajak kepada kejahatan”

 Kedudukan nafsu ini banyak ditentukan oleh akal. Sesungguhnya akal yang sempurna tentu inginkan kepada perkara kebaikan dan benci melakukan keburukan.    

Banyak ayat al-Quran dan hadis yang menyuruh manusia berfikir sesuai dengan kejadian manusia yang dibekalkan akal. Antara ayat al-Quran menyebut mengenai berfikir ialah firman-Nya bermaksud: “Maka apakah kamu tidak menggunakan akal?” (Surah al-Anam, ayat 32). 

Fitrahnya, akal adalah penentu dalam mencorakkan martabatkan hidup insani dan satu-satunya pembeza mutlak antara manusia dan haiwan.  

Jadi, sesiapa tidak menggunakan kewarasan akal, layaknya dipanggil manusia haiwani, yakni fizikalnya manusia tetapi hidupnya cara haiwan.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan sesungguhnya kami jadikan neraka jahanam kebanyakannya daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan bagi memahami (ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan bagi melihat (tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan bagi mendengar (ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.” (Surah al-Araf, ayat 179)

Kehidupan manusia menjadi rosak dan sama seperti haiwan berpunca akal dan hatinya telah dirosakkan oleh hasutan syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia.  

Kehidupan mengejar kemewahan dan kenikmatan dunia semata-mata menyebabkan diri jauh daripada matlamat asal kejadian manusia yang perlu taat dan patuh kepada perintah Allah SWT. 

No comments:

Post a Comment