Monday 28 October 2019

PENGORBANAN CINTA ZAINAB PUTERI RASULULLAH

Kisah Zainab binti Muhammad adalah contoh terbaik dalam memperkatakan kesetiaan seorang isteri, keikhlasan cinta dan ketulusan iman. 

Zainab merupakan puteri sulung Nabi Muhammad dan Khadijah binti Khuwailid. Zainab diputerikan dua tahun selepas perkahwinan ibu bapanya.

Kelahiran Zainab memberikan kegembiraan yang tidak terhingga kepada ibu bapanya walaupun masyarakat jahiliah ketika itu tidak menyukai anak perempuan.

Zainab menjadi remaja yang tertib hasil didikan orang tuanya. Ibu saudara Zainab, Halah binti Khuwailid, telah melamar gadis itu untuk puteranya, Abu al-Ash bin Rabi.

Perkahwinan Zainab dilangsungkan meriah dan ibunya memberikan seutas kalung sebagai hadiah perkahwinan. Pasangan ini dianggap ideal dan mereka hidup aman bahagia.

Ketika Muhammad berusia 40 tahun, baginda diangkat sebagai Rasulullah. Zainab antara orang yang terawal mengikut jejak langkah bapanya menerima Islam. Bagaimanapun Abu al-Ash enggan memeluk Islam dengan pelbagai alasan.

Sebagai isteri, Zainab tidak dapat berbuat apa-apa tetapi dia masih tinggal serumah dengan suaminya. Lagipun ketika itu belum ada wahyu yang melarang suami isteri yang tidak seagama tinggal serumah. 

Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, Zainab tidak turut serta kerana masih setia kepada suaminya.

Perang Badar meletus pada tahun ke-2 Hijrah. Kaum musyrikin kalah teruk dalam pertempuran itu dan ramai yang menjadi tawanan di Madinah.

Salah seorangnya adalah Abu al-Ash, suami Zainab, menantu Rasulullah SAW. Ketika mendengar suaminya menjadi tawanan bapanya di Madinah, Zainab telah mengirimkan kalung hadiah ibunya sebagai bayaran tebusan suaminya.

Menitis air mata Rasulullah SAW kerana baginda mengenali pemilik kalung itu dan memahami cinta Zainab terhadap suaminya.

Kaum muslimin bersetuju memulangkan kalung itu kepada Zainab dan membebaskan Abu al-Ash tanpa tebusan.

Kepulangan suaminya disambut gembira. Bagaimanapun dia amat terkejut apabila Abu al-Ash menceraikannya.

Abu al-Ash memberitahu perceraian itu atas arahan Rasulullah SAW berikutan turun wahyu yang melarang suami isteri tinggal bersama selepas salah seorangnya memeluk Islam.

Kerana itu Abu al-Ash mesti menceraikan Zainab dan memulangkan isterinya kepada bapanya di Madinah.

Kedua-dua suami isteri ini tidak dapat menahan kesedihan masing-masing apatah lagi kerana Zainab sedang hamil empat bulan. Abu al-Ash tidak tergamak untuk mengiringi Zainab keluar Mekah, lantas mengamanahkan adiknya Kinanah menghantar Zainab ke sana. Dia berpesan supaya melindungi Zainab dan mempertahankan wanita itu dengan nyawa.

Sementara di luar kota Mekah, Zaid bin Harisah dan seorang lelaki Ansar menjadi wakil Rasulullah SAW untuk membawa puteri baginda ke Madinah.

Kaum kafir Quraisy mendapat tahu mengenai keberangkatan itu. Mereka keluar mencari Zainab dan bertembung dengannya di Dzi Thuwa. Untanya ditombak menyebabkan Zainab terjatuh dan mengalami keguguran.

Abu Sufyan yang turut serta dalam kumpulan lelaki Quraisy itu memberitahu Kinanah bahawa tindakannya membawa Zainab keluar pada waktu siang adalah tidak tepat kerana ia akan menambahkan lagi malu mereka selepas kekalahan Perang Badar.

Zainab pun dibawa balik ke Mekah untuk dirawat dan diserahkan kepada wakil Rasulullah SAW pada sebelah malam.

Kedatangan Zainab ke Madinah disambut penuh gembira oleh masyarakat Madinah. Bagaimanapun Zainah dan Abu al-Ash masih merindui satu sama lain dan sentiasa berharap untuk bersama semula.

Pada tahun ke-6 Hijrah, Abu al-Ash mengikut satu rombongan dagang ke Syam. Dalam perjalanan pulang, rombongan mereka ditahan orang Islam dan semua hasil dagangannya dirampas.

Dia tidak berani pulang ke Mekah dengan tangan kosong kerana dia tahu ramai yang sedang menanti untuk mendapatkan wang masing-masing.

Abu al-Ash teringat bekas isterinya dan cuba meminta pertolongan. Dia menyusup masuk ke Madinah pada waktu malam dan meminta Zainab melindungi serta mendapatkan hartanya yang dirampas. Kerana cinta, Zainab berikrar membantu Abu al-Ash.

Rasulullah SAW mendapat tahu hal itu dan menasihatkan puterinya bahawa Abu al-Ash haram baginya sebelum dia memeluk Islam. Bagaimanapun baginda faham bahawa puterinya itu masih mempunyai perasaan terhadap bekas suaminya dan pengorbanan besar Zainab terhadap Islam.

Zainab akur dengan arahan bapanya dan menyerahkan Abu al-Ash kepada orang Islam untuk dihukum. Abu al-Ash ditanya kesediaannya untuk memeluk Islam tetapi katanya, dia perlu memulangkan hasil dagangan itu kepada rakyat Mekah terlebih dahulu.

Cara itu supaya tidak digelar pengkhianat. Jika dia memeluk Islam dahulu, imej Islam pasti akan tercemar. Lalu, harta itu dipulangkan kepada Abu al-Ash.

Dia kembali ke Mekah membahagikan hasilnya kepada rakyat dan dipuji kerana amanahnya. Selesai tugasnya, Abu al-Ash mengumumkan pengislamannya dan berhijrah ke Madinah.

Pasangan itu dikahwinkan semula mengikut syarak dan hidup bahagia.

Kesan keguguran yang pernah dialami Zainab menyebabkan kesihatannya terganggu. Dia meninggal dunia pada tahun ke-8 Hijrah, diikuti suaminya empat tahun kemudian.

Sesungguhnya, kisah cinta, kesetiaan dan pengorbanan Zainab dikenang sebagai seorang isteri yang setia, juga taat kepada Islam. 

Biarpun cinta dan kasih yang mendalam terhadap suami, Zainab tetap memilih Islam. Cinta sejati itu dimuliakan Allah SWT apabila kedua-duanya disatukan kembali sebagai suami isteri dan kekal ke akhir hayat.  

No comments:

Post a Comment