Sunday 2 May 2021

TIDAK PATUT KECAM ISMAIL SABRI

Jika ditanya kepada rakyat, menteri mana paling popular dan komited kepada tugas, pasti banyak yang menjawab Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Keselamatan). Tugas sebagai Menteri Pertahanan digalas dengan sebaik mungkin. Manakala tugas sebagai menteri bertanggungjawab sebagai jurucakap berkaitan Covid-19 juga dilakukan dengan penuh bijaksakna.

Malang sekali, Ismail Sabri atau juga dikenali Tok Mail paling banyak menerima kecaman warga maya. Kecaman bukan kerana gagal melaksanakan tugas, tetapi apabila warga maya tidak berpuas hati dengan pengumuman dibuat Ismail Sabri yang tidak menyebelahi kehendak mereka.

Terkini, Ismail Sabri dikecam atau dicemuh kerana mengumumkan keputusan kerajaan tidak membenar Rentas Negeri pada musim perayaan Aidilfitri nanti.

Nampaknya, rakyat masih tidak faham mengenai fungsi Ismail Sabri. Setahun berlalu, rakyat masi tidak faham-faham apa dilakukan Ismail Sabri berkaitan Covid-19.

Maka, dirasakan perlu untuk mengulangi pemakluman mengenai tugas Ismail Sabri agar lebih banyak yang faham.

Sebagai Menteri Kanan Keselamatan, selain tugas hakikinya sebagai Menteri Pertahanan, Ismail Sabri diamanahkan tugas sebagai jurucakap kepada kerajaan berkaitan Covid-19.

Penugasan itu bertujuan agar sebarang isu berkaitan diseleras hanya dikeluarkan oleh satu menteri sahaja. Seperti kita sedia maklum, hal berkaitan Covid-19 ini melibatkan semua kementerian atau semua peringkat pentadbiran kerajaan, syarikat mahupun rakyat jelata.

Jika tidak dilantik hanya seorang jurucakap, akan keluar macam-macam kenyataan dari menteri dan agensi kerajaan yang akan menyebabkan rakyat keliru.

Jadi, sebagai jurucakap, Ismail Sabri bertanggungjawab menyampaikan apa-apa berita atau keputusan berdasarkan kepada apa yang diputuskan oleh mesyuarat Majlis Keselamatan Negera (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri.

Sebarang isu berkaitan Covid-19 dibincang dengan teliti dan diperhalusi sebelum satu keputusan bersama diambil.

Dan, segala keputusan itu dipertanggungjawabkan kepada Ismail Sabri untuk disampaikan kepada rakyat melalui sidang media khas.

Mudah cakap, apa sahaja yang disampaikan oleh Ismail Sabri adalah satu keputusan atau maklumat melibatkan pihak-pihak yang terlibat.

Apabila Ismail Sabri membuat kenyataan larangan Rentas Negeri pada musim Aidilfitri, itu adalah keputusan mesyuarat MKN.

Dalam setiap kenyataan, Ismail Sabri akan menyebut ‘sumber’ keputusan itu diambil. Contohnya, berdasarkan nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), maka mesyuarat memutuskan bahawa Retas Negeri tidak dibenarkan.

Jelas sekali keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MKN berdasarkan kepada nasihat KKM dan ia disampaikan oleh Ismail Sabri. Malang sekali Ismail Sabri dipersalahkan dalam soal itu.

Kita bukan ingin mencari salah siapa. Setiap keputusan dibuat dalam mesyuarat MKN mengambil kira pelbagai aspek demi untuk kepentingan rakyat. Terimalah dengan hati terbuka demi untuk kepentingan bersama.

No comments:

Post a Comment