Sunday 8 August 2021

CARA BIJAK MELAKSANAKAN STRATEGI BERDAKWAH

Kita mestilah bijak menggunakan strategi bagi mengawal dan memantau kerja dakwah agama lain tanpa menggunakan kekerasan. Kata Ibn Kathir, bukti kebenaran Islam itu jelas, kita perlu menggunakan kepandaian dalam menghadapi penyerapan dakwah agama lain ini.

Hanya apabila mereka melampaui had batasan seperti menghina Islam dan sebagainya, maka tindakan yang sewajarnya boleh diambil terhadap mereka mengikut saluran undangundang. Kesimpulannya, agama Islam menitikberatkan persoalan toleransi (tasamuh).

Ini tidak bermakna agama Islam tunduk kepada kehendak agama lain dan tidak bermakna juga kerana tasamuh, orang Islam tidak perlu berdakwah kepada orang bukan Islam.

Seruan Islam mestilah diteruskan dengan pendekatan dan prinsip yang disebutkan supaya urusan dakwah Islamiyah akan terus segar dalam masyarakat disamping menjaga sensitiviti penganut agama lain.

Sebab itu, dalam melakukan kerja dakwah hendaklah dilakukan dengan penuh bijaksakna. Jangan berlaku perbuatan maki hamun dan kekerasan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jangan kamu memaki hamun tuhan mereka yang menyeru selain daripada Allah, kelak mereka akan balas memaki Allah dengan permusuhan dan mereka tidak ada pengetahuan mengenai-Nya (Allah).” (Surah al-An'am, ayat 108)

Sebaliknya, hendaklah dilakukan dengan cara yang baik. Dalam hal ini, Allah SWT telah mengingatkan dalam firman yang bermaksud: “Serulah (semua manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik (bijaksana) dan bantahlah mereka dengan cara yang baik” (Surah an-Nahl, ayat 125).

Ibnu Kathir dalam mentafsirkan tiada paksaan dalam Islam (surah al-Baqarah, ayat 256) menyatakan umat Islam tidak memaksa sesiapapun untuk memeluk Islam kerana agama Islam telah jelas akan ajaran dan bukti ajarannya, jadi ia perlu kepada kerelaan hati dan bukan paksaan.

Kita hendaklah memahami setiap manusia akan mempertahankan fahaman agamanya walaupun hakikatnya Islam agama yang sebenar. Namun, prinsip hormat-menghormati menjadi teras kepada keamanan dan kesejahteraan.

No comments:

Post a Comment