Thursday 4 August 2022

PASAR TERAPUNG PANTAI SURI

 
Pasar Terapung Pantai Suri satu ikon tarikan di kawasan kepulauan delta Sungai Kelantan di jajahan Tumpat. Terletak berhampiran Pulau Suri yang dipisahkan dengan satu batang sungai, Pasar Terapung Pantai Suri memberi peluang pengunjung merasai pengalaman seperti berada di pasar terapung yang beroperasi di negara jiran iaitu Hatyai dan Bangkok di Thailand. 

Pasar ini terkenal kerana mempunyai deretan bot-bot kecik yang diletakakan di tepi-tepi sungai malah yang lebih menarik lagi bot-bot ini juga turut menjual pelbagai jenis makanan serta minuman.  Pengunjung kemudian boleh menikmati makanan di meja atau di atas hamparan tikar.

Suasana dibayangi daun pokok kelapa dan suasana tepi sungai menjadikan ia begitu istimewa dan mengujakan.

Pasar Terapung Pantai Suri yang mula beroperasi sejak 2016 itu dengan slogan Gaya Tradisi Penuh Klasik beroperasi setiap hari Sabtu bermula jam 8.30 pagi - 4.00 petang. 

Ditutup sementar operasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kemudian meneruskan semula operasi pada Jun 2022, Pasar Terapung Pantai Suri semakin dikenali bukan sahaja di kalangan penduduk Kelantan, bahkan dari luar Kelantan. Ia menjadi salah satu daya tarikan pengunjung datang ke Kelantan, selain mengambil peluang untuk melawat atau mengunjungi tempat-tempat lain.

Pelbagai jualan dan barangan yang berasaskan tradisional dijual oleh penduduk kampung untuk pengunjung yang datang dengan harga yang sangat berpatutan. Selain makanan tradisional, pengunjung juga boleh mendapatkan makanan, minuman serta barangan dari negara jiran yang turut dijual di sini. 

Pengunjung boleh ke sana dengan mendapatkan khidmat bot penambang di Jeti Kuala Besar yang berada di jajahan Kota Bharu, atau Jeti Kok Majid di jajahan Tumpat. 

Ketika berada di jeti, anda hanya perlu berkomunikasi dengan jurubot dengan menyatakan destinasi yang ingin ditujui.

Perkhidmatan tidak berjadual itu bukan sahaja menyediakan perkhidmatan untuk ke Pasar Terapung Pantai Suri, bahkan juga ke destinasi lain di kepulauan tersebut.  







Gambar: Dari media sosial. Terima kasih pemilik asal. 

No comments:

Post a Comment