Kisah Zainab binti Muhammad adalah contoh
terbaik dalam memperkatakan kesetiaan seorang isteri, keikhlasan cinta dan
ketulusan iman.
Zainab merupakan puteri sulung Nabi Muhammad
dan Khadijah binti Khuwailid. Zainab diputerikan dua tahun selepas
perkahwinan ibu bapanya.
Kelahiran Zainab memberikan kegembiraan yang
tidak terhingga kepada ibu bapanya walaupun masyarakat jahiliah ketika itu
tidak menyukai anak perempuan.
Zainab menjadi remaja yang tertib hasil
didikan orang tuanya. Ibu saudara Zainab, Halah binti Khuwailid, telah
melamar gadis itu untuk puteranya, Abu al-Ash bin Rabi.
Perkahwinan Zainab dilangsungkan meriah dan
ibunya memberikan seutas kalung sebagai hadiah perkahwinan. Pasangan ini
dianggap ideal dan mereka hidup aman bahagia.
Ketika Muhammad berusia 40 tahun, baginda
diangkat sebagai Rasulullah. Zainab antara orang yang terawal mengikut jejak
langkah bapanya menerima Islam. Bagaimanapun Abu al-Ash enggan memeluk Islam
dengan pelbagai alasan.
Sebagai isteri, Zainab tidak dapat berbuat
apa-apa tetapi dia masih tinggal serumah dengan suaminya. Lagipun ketika itu
belum ada wahyu yang melarang suami isteri yang tidak seagama tinggal
serumah.
Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah,
Zainab tidak turut serta kerana masih setia kepada suaminya.
Perang Badar meletus pada tahun ke-2 Hijrah. Kaum musyrikin kalah teruk dalam pertempuran itu dan ramai yang
menjadi tawanan di Madinah.
Salah seorangnya adalah Abu al-Ash, suami
Zainab, menantu Rasulullah SAW. Ketika mendengar suaminya menjadi tawanan
bapanya di Madinah, Zainab telah mengirimkan kalung hadiah ibunya sebagai
bayaran tebusan suaminya.
Menitis air mata Rasulullah SAW kerana
baginda mengenali pemilik kalung itu dan memahami cinta Zainab terhadap
suaminya.
Kaum muslimin bersetuju memulangkan kalung
itu kepada Zainab dan membebaskan Abu al-Ash tanpa tebusan.
Kepulangan suaminya disambut gembira.
Bagaimanapun dia amat terkejut apabila Abu al-Ash menceraikannya.
Abu al-Ash memberitahu perceraian itu atas
arahan Rasulullah SAW berikutan turun wahyu yang melarang suami isteri tinggal
bersama selepas salah seorangnya memeluk Islam.
Kerana itu Abu al-Ash mesti menceraikan
Zainab dan memulangkan isterinya kepada bapanya di Madinah.
Kedua-dua suami isteri ini tidak dapat
menahan kesedihan masing-masing apatah lagi kerana Zainab sedang hamil empat
bulan. Abu al-Ash tidak tergamak untuk mengiringi Zainab keluar Mekah, lantas
mengamanahkan adiknya Kinanah menghantar Zainab ke sana. Dia berpesan supaya
melindungi Zainab dan mempertahankan wanita itu dengan nyawa.
Sementara di luar kota Mekah, Zaid bin
Harisah dan seorang lelaki Ansar menjadi wakil Rasulullah SAW untuk
membawa puteri baginda ke Madinah.
Kaum kafir Quraisy mendapat tahu mengenai
keberangkatan itu. Mereka keluar mencari Zainab dan bertembung dengannya di Dzi
Thuwa. Untanya ditombak menyebabkan Zainab terjatuh dan mengalami keguguran.
Abu Sufyan yang turut serta dalam kumpulan
lelaki Quraisy itu memberitahu Kinanah bahawa tindakannya membawa Zainab keluar
pada waktu siang adalah tidak tepat kerana ia akan menambahkan lagi malu mereka
selepas kekalahan Perang Badar.
Zainab pun dibawa balik ke Mekah untuk
dirawat dan diserahkan kepada wakil Rasulullah SAW pada sebelah malam.
Kedatangan Zainab ke Madinah disambut penuh
gembira oleh masyarakat Madinah. Bagaimanapun Zainah dan Abu al-Ash masih
merindui satu sama lain dan sentiasa berharap untuk bersama semula.
Pada tahun ke-6 Hijrah, Abu al-Ash mengikut satu
rombongan dagang ke Syam. Dalam perjalanan pulang, rombongan mereka ditahan
orang Islam dan semua hasil dagangannya dirampas.
Dia tidak berani pulang ke Mekah dengan tangan
kosong kerana dia tahu ramai yang sedang menanti untuk mendapatkan wang
masing-masing.
Abu al-Ash teringat bekas isterinya dan cuba
meminta pertolongan. Dia menyusup masuk ke Madinah pada waktu malam dan meminta
Zainab melindungi serta mendapatkan hartanya yang dirampas. Kerana cinta,
Zainab berikrar membantu Abu al-Ash.
Rasulullah SAW mendapat tahu hal itu dan
menasihatkan puterinya bahawa Abu al-Ash haram baginya sebelum dia memeluk
Islam. Bagaimanapun baginda faham bahawa puterinya itu masih mempunyai perasaan
terhadap bekas suaminya dan pengorbanan besar Zainab terhadap Islam.
Zainab akur dengan arahan bapanya dan
menyerahkan Abu al-Ash kepada orang Islam untuk dihukum. Abu al-Ash ditanya
kesediaannya untuk memeluk Islam tetapi katanya, dia perlu memulangkan hasil
dagangan itu kepada rakyat Mekah terlebih dahulu.
Cara itu supaya tidak digelar pengkhianat.
Jika dia memeluk Islam dahulu, imej Islam pasti akan tercemar. Lalu, harta itu
dipulangkan kepada Abu al-Ash.
Dia kembali ke Mekah membahagikan hasilnya
kepada rakyat dan dipuji kerana amanahnya. Selesai tugasnya, Abu al-Ash
mengumumkan pengislamannya dan berhijrah ke Madinah.
Pasangan itu dikahwinkan semula mengikut
syarak dan hidup bahagia.
Kesan keguguran yang pernah dialami Zainab
menyebabkan kesihatannya terganggu. Dia meninggal dunia pada tahun ke-8 Hijrah,
diikuti suaminya empat tahun kemudian.
Sesungguhnya, kisah cinta, kesetiaan dan
pengorbanan Zainab dikenang sebagai seorang isteri yang setia, juga taat kepada
Islam.
Biarpun cinta dan kasih yang mendalam
terhadap suami, Zainab tetap memilih Islam. Cinta sejati itu dimuliakan Allah SWT apabila kedua-duanya disatukan kembali sebagai suami isteri dan kekal ke akhir
hayat.
No comments:
Post a Comment