Wednesday, 11 June 2025

LOKOMOTIF PERTAMA BEROPERASI DI TANAH MELAYU

 
Kepala kereta api (lokomotif) pertama digunakan di Tanah Melayu diberi nama FMSR No.1. (The Federated Malay States Railways) Lokomotif yang digunakan di laluan Taiping-Port Weld juga dikenali sebagai Lady Weld,
 
FMSR No. 1 digunakan untuk mengangkut bijih timah dari lombong-lombong di Taiping ke pelabuhan di Port Weld. Perkhidmatannya bermula pada 1 Jun 1885 dengan jajaran landasan sepanjang 13.28 kilometer.
 
Sebenarnya, pada peringkat awal nama lokomotif ini bukannya FMSR No. 1. Nama FMSR No. 1 hanya digunakan selepas terbentuknya The Federated Malay States Railways (FMSR) pada tahun 1901.
 
Lokomotif pertama asalnya ditempah untuk Kereta Api Perak dari Ransomes dan Rapier pada 18 Mei 1881. Ia serupa dengan kelas Calcutta dan dikenali dengan nombor pesanan, 150 dan dinamakan PERAK.
 
Ia adalah yang ke-19 daripada 23 lokomotif wap yang dibina oleh Ransomes & Rapier dan dihantar sekitar September 1881. 

Penggunaan awal lokomotif ini untuk kerja pembinaan sebelum laluan dibuka dengan rasmi pada 1 Jun 1885, yang turut menjadi tarikh permulaan perkhidmatan kereta api di Tanah Melayu dan "penubuhan" Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
 
Ransomes & Rapier juga membekalkan peralatan berkaitan kerja kereta api, 10 gerabak barang, meja putar lokomotif dan gerabak dan kelengkapan stesen. 
 
Selepas pembentukan FMSR pada tahun 1901, lokomotif pertama ini telah dinamakan dengan FMSR No. 1 dan dipindahkan ke Sentul. Lokomotif ini telah ditamatkan khidmat pada tahun 1916. Ia dinyahfungsi pada tahun 1920.

No comments:

Post a Comment