Tuesday 27 December 2016

Sistem kabinet Malaysia

Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang Dipertuan Agung hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatkan dalam hal menjalankan tugas-tugasnya. 

Jemaah Menteri atau Kabinet menjalankan kuasa eksekutif mentadbir negara yang diketuai Perdana Menteri dengan dibantu oleh menteri-menteri.

Kabinet merupakan jawatankuasa kerajaan yang tertinggi serta mempunyai ciri-ciri Perlembagaan yang penting dan seterusnya ia menyalurkan tugasan Perlembagaan melalui peruntukan-peruntukan yang am berkaitan dengan perkara-perkara tertentu dalam pandangan awam.

Semua undang-undang yang diluluskan di Parlimen dibuat hanya selepas ia dibentang dalam sesi Kabinet terlebih dahulu.

Keputusan-keputusan yang dibuat oleh Kabinet memberi kesan ke atas kehidupan rakyat. Ia memutuskan undang-undang yang bakal dikuatkuasakan melalui kuasa Parlimen. Ia menentukan cukai yang akan dikenakan mengikut bajet yang disediakan oleh Perbendaharaan.

Keputusan-keputusan Kabinet memberi kesan kepada cara hidup, kesejahteraan dan ekonomi rakyat.

Justeru, Kabinet secara idealnya harus membuat keputusan dan tindakan berdasarkan hati nurani rakyat. Pendapat awam harus memberi kesan dan mempengaruhi keputusan Kabinet. Biarpun pada hakikatnya, Kabinet mentadbir berdasarkan kekuasaan dan kewibawaan sendiri.

Namun, penting difahamkan bahawa bukan semua yang dicitakan rakyat boleh diterjemahkan ke dalam tindakan menepati kehendak yang popular.

Kemenangan Tunku Abdul Rahman dan rakan-rakan beliau dalam Parti Perikatan pada Pilihan Raya Perundangan Persekutuan 1955 menjadi titik kemunculan kerajaan berkabinet di Malaysia. Bersama rakan-rakan gabungan daripada UMNO, MCA dan MIC, mereka diberi mandat dengan majoriti 52 kerusi daripada 53 kerusi yang dipertandingkan.

Namun hanya apabila memenangi Pilihan Raya Persekutuan 1959, Tunku yang sekali lagi dilantik Perdana Menteri, baharulah membentuk Kabinet yang mempunyai 12 menteri.

Bilangan menteri dalam Kabinet bukanlah satu perkara yang ditetapkan. Selain 12 orang dalam Kabinet pertama Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn mempunyai anggota Kabinet di antara 20 hingga 24 orang. Tun Dr. Mahathir Mohamad mempunyai 28 ahli Kabinet sebelum beliau bersara pada Oktober 2003.

Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi membentuk kerajaan pada 27 Mac 2004, beliau mempunyai 33 anggota Kabinet.

Tuntasnya, semua Perdana Menteri mempunyai bilangan anggota Kabinet berbeza dalam tempoh pentadbiran kerajaan mereka.

Tiada Perdana Menteri yang pernah memberi penjelasan mengapa Kabinet beliau mempunyai bilangan anggota tertentu, kerana ia adalah hak keistimewaan subjektif dan pilihan bagi seorang ketua eksekutif.

Tiada siapa yang akan mempersoalkan jika beliau hendak membentuk kementerian baru atau memberi tugas sebagai menteri kedua di kementerian tertentu. Sebagai contoh, Kementerian Kewangan mendapat Menteri Kedua semasa kepimpinan Dr. Mahathir. Begitu juga di bawah kepimpinan Abdullah dan Najib.

Kebiasaannya Perdana Menteri melantik menteri-menteri mengikut keperluan kerajaan beliau. Dan kriteria pemilihan ini termasuklah populariti politik selain bakat dan tuah seseorang.

Bagi Timbalan Menteri, istilah jawatan ini mula digunakan selepas pindaan Perlembagaan pada 1971 (Perkara 43A) di bawah pemerintahan Tun Abdul Razak. Sebelum itu ia dikenali sebagai menteri muda. Istilah menteri muda digugurkan kerana pengertian 'membantu' tidak sama dengan 'memangku'. Jika seseorang itu hanya pembantu, ia tidak boleh diiktiraf sebagai timbalan. Perkara ini mengehadkan bidang seseorang menteri muda untuk menandatangani sesuatu dokumen rasmi.

Satu perkara atau tugas yang tidak boleh dilakukan oleh seorang timbalan menteri ialah menghadiri mesyuarat Kabinet walaupun semasa ketiadaan menteri. Jika menteri atas apa jua sebab tidak dapat menghadiri mesyuarat Kabinet mingguan, seorang menteri lain akan ditugaskan bagi pihak beliau, bukan timbalannya. 

Bagaimanapun sebelum 1977, timbalan menteri dibenarkan memangku jawatan menteri dalam mesyuarat Kabinet.

Dalam pentadbiran Najib, beliau memilih alternatif tidak melantik setiausaha Parlimen (Perkara 43B) dalam pentadbiran. Alasan diberikan terhadap keputusan itu adalah ia lebih baik bagi setiap menteri dibantu terus oleh timbalan menteri terutama kerja-kerja Parlimen.

Pelantikan setiausaha Parlimen berbeza daripada pelantikan timbalan menteri yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong. Setiausaha Parlimen dilantik oleh Perdana Menteri dan mengangkat sumpah pelantikan di hadapannya.

Tugas seorang setiausaha Parlimen 'hendaklah membantu menteri dan timbalan menteri dalam menjalankan tugas dan fungsi mereka dan bagi maksud itu diberi kuasa seperti seorang menteri dan timbalan menteri'. Mereka boleh mewakili menteri atau timbalan menteri dalam apa-apa fungsi atau majlis jika diarahkan oleh menteri.

No comments:

Post a Comment