Wednesday 29 January 2020

SIKAP PENENTU KEJAYAAN


Sikap adalah penentu kepada kejayaan. Sebaliknya, keupayaan hanya sebagai alat untuk mencapai kejayaan. Jika kita ada alat, tetapi tidak betul sikap, kejayaan tidak mampu dicapai. Sebaliknya, jika betul sikap, jika tiada alat, kita akan berusaha untuk mendapatkan alat itu, dan mencapai kejayaan. 

Apa yang tercetus dalam fikiran semasa intiusi bukan sesuatu tidak mungkin dicapai. Fikiran sudah tentu tidak menerimanya jika sesuatu tidak lojik. Yang tidak lojik sebenarnya diri kita jika tidak mahu mengusahakannya. 

Kejayaan sesuatu yang sukar kepada orang yang di dalam hatinya mengatakan dia tidak akan berjaya. Bagi orang yang mengatakan dirinya akan berjaya, sebenarnya telah berjaya sebelum dia beroleh kejayaan sebenar. Kepuasan melakukan sesuatu sudah dianggap sebahagian daripada kejayaan. 

Individu mendapat kepuasan daripada apa yang dilakukan sekiranya dia ikhlas dan yakin apa yang dilakukan olehnya. Sikap itu memudahkan lagi untuk memperoleh kejayaan. Sebaliknya amatlah sukar untuk memperoleh kejayaan jika tidak menyukai apa yang dilakukan.

Inilah hakikat yang perlu dihayati oleh setiap orang. Bekerja dan berusaha menjadi lebih mudah jika ada keikhlasan, mempunyai keyakinan dan minat. Jangan fikir pekerjaan sekarang satu yang membebankan. Lihat dalam diri, ciptakan minat mendalam terhadap pekerjaan. Ingat, cara anda melihat diri sendiri akan menentukan apa yang anda akan lakukan. 

Intiusi yang dijadikan motivasi hendaklah digarap juga secara bayangan. Jika anda menetapkan sasaran untuk berjaya mendapat sesuatu tahap kejayaan atau kekayaan, apa kata bayangkan diri anda sudah berada di tempat yang anda impikan itu.   

Intiusi ialah daya atau kebolehan memahami (mengetahui, merasai) sesuatu tanpa berfikir atau membuat pertimbangan secara sedar. Intiusi juga bermaksud gerak hati.

Sebenarnya intiusi boleh berlaku secara spontan. Sesuatu yang terlintas di dalam hati dan kemudian membawa kepada pemikiran secara sedar adalah satu bentuk intiusi.  

Bayangkan juga apa anda akan lakukan setelah mencapai kedudukan itu. Mungkin anda ingin membeli kereta atau rumah idaman. Jadi, apa salahnya anda gantungkan gambar kereta atau rumah idaman anda. Itu rasanya lebih baik daripada menggatung gambar artis di dalam bilik.  

Bayangan yang kita rasakan itu tentunya tidak mahu sekadar satu bayangan. Tindakan proaktif untuk menjadikan ia satu kenyataan tentu akan lahir daripada bayangan itu. Tentulah anda tidak rela sekadar mencapainya dalam bayangan. Manakala gambar kereta dan rumah idamanan anda sekadar kekal dalam gambar.    

Dalam menjayakan cita-cita tentu tidak sunyi daripada halangan. Teruskan tekad dan meningkat semangat. Buat sedaya upaya untuk mengekalkan matlamat. Teruskan ghairah untuk mencapai intiusi. Ingatlah, tindakan kita menentukan sama ada kita berjaya atau gagal. 

No comments:

Post a Comment