Tuesday, 29 December 2020

KHASIAT ULAM BUAH KERDAS

Kerdas atau keredas (nama saintifiknya archidendron bubalinum) merupakan sejenis buah dari pokok kerdas yang sering dijadikan sebagai ulam serta dimakan bersama nasi. 

Kerdas juga dipanggil genuak dalam dialek Pulau Pinang. Pokok kerdas juga dipanggil geredas padi, giring antan dan merambung bukit.

Apapun nama panggilan, buah kerdas mengeluarkan bau yang agak kuat sama seperti ulam petai dan jering. Pokok kerdas merupakan sejenis pokok berkayu, saka dan malar hijau.

Kulit kerdas agak keras dan liat serta mempunyai saiz memanjang dan isi di dalamnya berulas-ulas. Ulas isinya agak kecil di antara (10 mm-15 mm) dan ianya berkulit nipis sama seperti kulit isi jering.

Warna isinya bergantung kepada ketuaan buah ini jika sudah tua atau disimpan lama warnanya akan menjadi kehitaman dan jika isinya masih muda atau baru dipetik ianya bewarna kuning pucat (keputih-putihan).

Isi buah kerdas agak lembut walau pun sudah tua dan matang. Selain dijadikan ulaman, buah kerdas juga boleh dimasak sambal atau dibuat jeruk. Biarpun sambal kerdas ikan bilis tidak sehebat sambal petai ikan bilis, ia tetap menyelerakan.

Selain buah kerdas, pucuk daun pokok kerdas juga ada yang memakannya sebagai ulaman. Daun pokok kerdas ini bertekstur nipis dan lembut daun mudanya pula bewarna ungu.

Buah kerdas dijadikan sebagai ulam bagi menambah selera makan. Baunya agak kuat hingga melekat pada bau nafas selepas memakan ulam ini. 

Kerdas ini boleh bertahan lama jika disimpan bersama kulitnya. Bagi penduduk luar bandar mereka sering mencari pokok kerdas yang tumbuh meliar di dalam hutan.

Memakan buah kerdas juga akan menyebabkan bau yang kurang menyenangkan pada mulut dan air kencing kita. 

Buah kerdas matang tidak boleh dimakan mentah terlalu banyak sekali gus kerana ia mengandungi bahan kapur yang boleh menyekat saluran kencing dan akan menyebabkan pemakannya sukar membuang air kecil.

Buah kerdas mengandungi nilai herba yang boleh membersihkan buah pinggang, melawaskan kencing dan dapat mengurangkan risiko penyakit kencing manis. 

Ia juga dikaitkan dengan awet muda. Yang pentingnya amalan memakan buah kerdas sebagai ulaman dengan nasi panas menjadi pembuka selera semasa kita menghadapi hidangan.

Kerdas kaya vitamin A, vitamin B dan vitamin C selain daripada kandungan protein (3.5%), karbohiderat (1.7%), lemak (0.3%) dan pelbagai zat galian seperti P, Fe, Ca dan sebagainya.

Buah kerdas juga didapati mengandungi bahan koloid yang membantu dalam melawaskan sistem perkumuhan terutama membantu dalam ransangan untuk kencing.

Terdapat dakwaan yang menyatakan buah kerdas membantu meneuteralkan kandungan gula dalam darah dan membantu dalam mengawal masalah darah tinggi.

Dapatkan kerdas  

Di Shopee

- https://s.shopee.com.my/5L5bD25HuK? (buah)

- https://s.shopee.com.my/50SkoRRwfQ? (anak benih)

- https://s.shopee.com.my/6Ky8OxhFh3? (anak benih)

Tuesday, 22 December 2020

IKAN TILAPIA MERAH MUDAH DITERNAK

Di Malaysia terdapat dua spesies ikan tilapia yang terkenal iaitu tilapia merah dan tilapia hitam. Sebenarnya, terdapat lebih lebih kurang 30 spesies ikan ini di seluruh dunia. Di Malaysia, ikan tilapia hitam banyak terdapat di lombong-lombong dan kolam terbiar. Spesies ini mudah membiak dan lasak berbanding tilapia merah. 

Ikan tilapia dikatakan berasal dari benua Afrika. Ikan tilapia hitam merupakan ikan dari Sungai Nil. Ikan ini mula dijumpai di Malaysia pada tahun 1969 dan telah tersebar dengan meluas di Malaysia. 

Ikan tilapia hitam telah disenaraikan sebagai ikan pendatang yang mendatangkan kesan buruk kepada ikan tempatan. Justeru, ikan tilapia hitam tidak boleh dilepaskan ke perairan awam. 

Ikan tilapia yang dimaksudkan sesuai untuk diternak ialah tilapia merah. Ikan tilapia merah banyak dipelihara di negara negara beriklim tropika, berbanding di negara beriklim sejuk, yang mana air perlu dihangatkan sehingga setara dengan suhu di negara tropika. 

Sebab itu, pemeliharaan ikan tilapia merah banyak tertumpu di negara beriklan tropika yang tidak memerlukan kos tambahan untuk memanaskan air kolam.

Penternakan ikan tilapia merah memang mudah. Tidak banyak perkara yang perlu difikirkan tentang kos dan penjagaan jika sekadar ingin memelihara untuk tujuan penggunan sendiri dan pasaran secara kecil-kecilan.

Kalau ada kolam terbiar, jangan terus biarkan ia terbiar begitu sahaja. Rugi jika tidak dimanfaatkan. Kawasan kolam boleh dijadikan tempat memelihara ikan tilapia merah.

Ikan tilapia merah jenis ikan yang mudah dijaga dan senang untuk dibiakkan. Menternak ikan hanya memerlukan pengetahuan asas sahaja. .

Kalau dalam keadaan semula jadi ikan tilapia merah boleh hidup sendiri, tentulah mudah untuk diternak. Apa yang penting ada sumber air berterusan dan sumber makanan di dalam kolam itu.

Selain daripada memasak sendiri ikan ini di rumah, ikan tilapia merah juga mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran, terutamanya di restoran makanan laut dan pasar raya.

Ikan tilapia merah boleh dibiak dan diternak dengan pelbagai cara dan pelbagai jenis persekitaran. Ikan tilapia merah boleh diternak di dalam kolam, sangkar, tasik, tangki plastik dan banyak lagi.

Menternak ikan tilapia merah di dalam kolam adalah kaedah yang paling mudah dan jimat kerana ikan memakan makanan semula jadi yang ada di dalam kolam tersebut.

Ketika di dalam fasa tumbesaran ini, ikan tilapia hitam perlu diberikan makanan yang mencukupi dan mengekalkan keadaan air bersih bagi menggalakkan tumbesaran.

Ikan tilapia merah mengambil masa empat hingga ke enam bulan untuk membesar dan sedia untuk dituai atau ditangkap.

Baca juga:

Friday, 18 December 2020

CARA PALING BERKESAN KURUSKAN BADAN

Masalah berat badan bukan perkara kecil. Banyak orang berdepan masalah berat badan terpaksa melakukan pelbagai cara untuk kembali kurus atau setidak-tidaknya bertahan tidak bertambah gemuk.

Sebab itu, produk kuruskan badan dan peralatan senaman yang didakwa cepat menguruskan badan menjadi laris dipasaran. Ada yang sanggup berhabis duit semata-mata untuk kuruskan badan.

Kita kena kembali kepada prinsip asas. Mengapa kita menjadi gemuk? Tentu sekali semua orang tahu jawapannya. Ya, pengambilan makanan yang tidak terkawal dan gaya hidup tidak sihat.

Jadi, untuk mengatasi atau tidak menjadi gemuk, perkara asas perlu dilakukan ialah kawal pengambilan makanan dan lakukan gaya hidup sihat.

Pengambilan makanan seimbang paling penting dalam penurunan berat badan. Masukkan pelbagai jenis makanan sihat seperti protein tanpa lemak, sayur-sayuran, bijirin penuh, produk tenusu rendah lemak dan lemak baik dalam pemakanan seharian.

Elakkan daripada pengambilan makanan yang berlemak, mempunyai kandungan gula yang tinggi dan makanan berproses yang boleh menyumbang kepada kalori berlebihan.

Setiap orang haruslah sentiasa mengambil makanan yang sihat dan seimbang untuk memastikan badan mendapat pelbagai nutrisi yang diperlukan.

Banyakkan pengambilan sayur-sayuran bersama dengan sumber protein berkualiti seperti telur, ayam tanpa kulit dan ikan serta buah-buahan dan produk bijiran penuh.

Untuk menurunkan berat badan, sasaran kita haruslah diletakkan pada pengurangan jumlah kalori yang diambil dalam sehari. Pada masa sama, jangan lupa kepentingan bersenam kerana pergerakan yang aktif dapat merangsang dan merancakkan lagi pembakaran kalori.


Friday, 4 December 2020

SINDIR BADAN SATU KESALAHAN BAWAH AKTA KOMUNIKASI 588

 
Perbuatan mengejek, merendah-rendahkan atau menghina seseorang dari aspek rupa fizikal dipanggil sindir badan atau ejekan tubuh. Dalam bahasa Inggeris atau istilah yang lebih kerap digunakan ialah ‘body shaming’.
 
Perbuatan ini memang sudah lama berlaku. Malah, di kalangan masyarakat  telah wujud gelaran berbentuk sindir badan sehingga melekat pada nama contohnya seperti Ali Botak, Bidah Gemuk, Mamat Hitam dan sebagainya.
 
Gelaran itu mungkin pada awalnya sekadar sebagai jenaka. Pemilik badan mungkin pada awalnya tidak suka kepada gelaran itu, tetapi lama kelamaan sudah lali dengan sindiran itu dan kemudian ‘bangga’ dengan gelaran itu sehingga menjadi identiti nama untuk mudah dikenali.
 
Namun, dalam banyak keadaan, perbuatan sindir badan memberi kesan buruk kepada individu sehingga ada kes bunuh diri kerana tidak tahan dengan sindiran.
 
Kementerian Kesihaan Malaysia menjelaskan bahawa perlakuan mengejek, menghina, memalukan dan mengkritik orang lain berkenaan tubuh badannya boleh menjejaskan kesihatan mental mangsa.
 
Sebab itu, jangan sekali-kali melakukan sindir badan kepada sesiapa sahaja. Tentu sekali tiada siapa yang inginkan bentuk badan atau keadaan fizikalnya yang dianggap tidak menarik dan kekurangan dijadikan bahan ejekan dan sindiran.
 
Perlakuan ejekan tubuh tidak hanya berlaku secara lisan iaitu secara bersemuka, tetapi juga melalui gajet dan aplikasi. Contohnya, melalui komen di media sosial yang semakin meluas dilakukan hari ini, sejajar perkembangan teknologi terkini.
 
Ejekan tubuh didefinisikan sebagai perbuatan memalukan seseorang atau diri sendiri melalui ejekan dan kritikan terhadap bentuk tubuh, warna kulit, penampilan, pekerjaan serta kekurangan dialami mereka.
 
Walaupun niat pelaku sekadar bergurau, memberi nasihat atau menunjukkan keprihatinan, ia tidak sepatutnya berlaku kerana boleh mengguris perasaan, merendahkan maruah dan menyebabkan ‘mangsa’ hilang keyakinan diri.
 
Tahukah anda, perbuatan ejekan tubuh atau body shaming sebenarnya salah satu kesalahan jenayah siber?
 
Kesalahan itu termaktub di bawah akta Sekyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Jika didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
 
Mangsa boleh membuat laporan polis atau kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM). Akta berkenaan menjurus kepada kesalahan di media sosial, jika mereka yang melakukan kesalahan di luar media sosial, mangsa boleh mengambil tindakan mengikut akta berlainan.
 
Justeru, masyarakat yang menjadi mangsa tidak harus turut menganggapnya sebagai satu gurauan biasa dan turut sama tergelak tetapi seharusnya menentang agar tidak menjadi satu kebiasaan kepada mereka untuk melakukan body shaming.
 
Bagi mengatasi permasalahan etika ini, pendidikan awal harus diberikan kepada generasi muda bukan sahaja di rumah dan prasekolah, tetapi juga diwujudkan silibus dalam jadual waktu kelas secara mingguan pada peringkat sekolah rendah bagi memberi pendedahan kepada pelajar kepentingan memelihara sivik serta kemahiran berkomunikasi.
 
Kesimpulannya, individu harus belajar menghormati dan tidak memandang rendah kepada sesiapa sahaja demi menjamin keharmonian kehidupan masyarakat, selain cuba meletakkan diri serta memahami perasaan orang jika mereka sendiri dilemparkan kata-kata berbentuk ejekan tubuh.
 
Setiap manusia tidak sempurna dan sama sahaja di mata Tuhan, tetapi yang membezakan adalah amalan baik, jadi hentikanlah mengeluarkan kata-kata berbentuk ejekan tubuh.