Monday 31 May 2021

MEMORIAL PERANG DUNIA KEDUA PAMER PESAWAT A4 SKYHAWK

Di kawasan Muzium Perang atau juga dikenali Memorial Perang Dunia Kedua, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan terdapat sebuah pesawat A4 Skyhawk dan Aloutte MKIII.

Keberadaan kedua-dua aset yang pernah digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) adalah hasil usaha kerjasama Persatuan Veteran TUDM Cawangan Negeri Kelantan dengan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.

Dalam tahun 1982, TUDM mengesahkan pembelian 80 buah kerangka A-4C dan A-4L yang sebelumnya digunakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat yang disimpan di Pengkalan Udara Davis Monthan untuk pengubahsuaian kepada satu standard A-4PTM (Peculiar to Malaysia).

Program ini adalah sebahagian daripada program pembesaran 'Perista' Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pesawat A4-Skyhawk mula dihantar kepada TUDM dalam bulan Disember 1984 dan ditempatkan di Pangkalan TUDM Kuantan dan berkhidmat dengan Skuadron No. 6 dan skuadron No. 9 TUDM.

Pesawat A-4 Skyhawk PTM yang digunakan TUDM menggunakan enjin Wright J65-W-420 yang telah diubahsuai dengan tujahan 3,465 kg dan mampu terbang pada kelajuan 1,083 kmj. A-4PTM juga dilengkapi dengan alat mengisi minyak dalam penerbangan daripada pesawat induk KC-130H Hercules atau dari pesawat Skyhawk lain yang dipasangkan dengan buddy tank.

Malangnya pesawat A-4 Skyhawk mengalami pelbagai masalah senggaraan sepanjang perkhidmatannya dengan TUDM dan mengalami kadar kemalangan yang agak tinggi yang berakhir dengan kematian juruterbang.

Setelah empat tahun perkhidmatan A-4 Skyhawk, TUDM mengumumkan bahawa ia akan digantikan dengan BAe Hawks model 108 dan 208 buatan British.

Sejarah permulaan perkhidmatan Pesawat Hawk TUDM bermula pada 15 April 1994 setelah penerimaan 2 buah pesawat pertama melalui Memorandum Of Understanding (MOU) di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan United Kingdom yang dimeterai pada 10 Dis 1990.

Ketika itu, Kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk mendapatkan perkhidmatan 10 buah Hawk 108 dan 18 buah Hawk 208 sebanyak 18 buah. Pesawat ini telah diterima secara berperingkat dengan 2 buah pesawat pada setiap bulan sehingga mencapai keseluruhan 28 buah pesawat.

Dengan penerimaan Hawk 108 dan Hawk 208, perkhidmatan kesemua A-4 Skyhawk telah ditamatkan pada 1999.

No comments:

Post a Comment