Tuesday 27 July 2021

Najib persoal keabsahan kerajaan PN

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) susulan pembatalan Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu.

Dalam sidang media di Parlimen hari ini, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, enam Ordinan Darurat yang dibatalkan pada tarikh berkenaan termasuk Ordinan Induk Darurat 2021 yang mana ia boleh menimbulkan persoalan dari segi kesahihan menerusi undang-undang.

“Maknanya keabsahan kerajaan bermula dari 21 Julai hingga 1 Ogos dipersoalkan. Pada pendapat saya, kenyataan semalam mengelirukan rakyat dan Ahli Parlimen,” katanya yang mendesak Perdana Menteri menjelaskan secara tepat dan terperinci mengenai perkara berkenaan sebelum timbul lebih banyak persoalan.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan sama ada pembatalan Ordinan Darurat mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan dibuat menerusi proses undang-undang.

“Dalam proses undang-undang, Kabinet mesti menasihati Agong, Agong perkenan untuk (Ordinan Darurat) dibatalkan dan ia digazetkan serta dibentangkan dalam kedua-dua Dewan (Dewan Rakyat dan Dewan Negara). Baharulah lengkap dari segi undang-undang,” jelasnya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan PN yang secara senyap-senyap menamatkan Ordinan Darurat berkenaan lima hari sebelum sidang Parlimen dibuat.

“Bolehkah ia dibuat secara ‘backdated’ atau diterkebelakangkan tarikhnya? Apakah kesan dan implikasi terhadap sebarang undang-undang yang diambil pihak berkuasa selepas 21 Julai itu mungkin boleh dipersoal atau terbatal dari segi undang-undang,” katanya.

Teks FB Friends of BN

 

No comments:

Post a Comment