Friday 10 September 2021

HIDUP INI INDAH, GEMBIRA ITU DI HATI

 
Kisahnya, ambo pergi melawat seorang kawan yang uzur. Lawatan itu disertai dua orang sahabat.

Setelah lebih kurang berada di atas rumah, bertanya khabar dan berborak-borak, kami minta izin untuk pulang. Sebelum balik, sahabat yang dilawati itu berpesan agar menggambil sendiri apa-apa buah yang ada di kawasan rumahnya.

Katanya, ambillah sebanyak mana yang hendak. Dia dan keluarga tidak sempat untuk memetik dengan keadaanya yang uzur itu. Buah itu gugur dan membazir sahaja jika tidak diambil. Handak sedekah kepada jiran-jirannya, mereka pun ada kebun sendiri yang juga tidak habis hendak dimakan buahnya.

Kawasan rumah kawan yang dilawati itu di kelilingi kebun buah-buahan. Ada pokok rambutan pelbagai veriati, pokok limau bali, pokok pulasan, pokok manggis, pokok cempedak, pokok kelapa, pokok durian dan beberapa jenis pokok buah-buahan lain.

Pokok-pokok itu semua sedang berbuah yang boleh diambil buahnya, kecuali durian yang sudah habis musim.

Jadi, sebelum bertolak balik, kami sepakat untuk ambil sedikit buah-buah itu. Mula-mula ambil buah rambutan. Kemudian, buah pulasan.

Pokok pulasan ni sebenarnya rendang. Buah boleh dipetik tanpa dipanjat. Namun, yang boleh dipetik itu buahnya tidak besar. Kalau hendak yang besar dan ranum, kena panjat.

Dalam kami intai-intai buah yang besar dan ranum itu, salah seorang kawan mungkin teruja untuk mendapatnya telah memanjat pokok tersebut.

Kawan itu sebenarnya wanita, pejawat awam gred 52, umur belum masuk 50 tahun. Kira bukan kaleng-kaleng juga gred. Insya-Allah tidak lama lagi masuk gred 54.

Lebih menarik lagi dia memanjat dengan berbaju kurang dan memakai kasut.

Dia bergerak dari dahan ke dahan. Untuk memetik buah di hujung, dia bergerak sehingga setakat yang dirasakan selamat.

Tiba bunyi ‘prap’. Dahan yang dipijaknya telah patah atau dalam dialek Kelantan dipanggil serkah (ejaan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah sekah).

Nasib baik bahagian yang serkah itu rendah dan berada di bahagian tebing. Jadi, tidaklah dia jatuh terus. Masih sempat berpaut pada dahan lain dan kemudian terus berpijak pada bahagian tebing.

Kisah ini sebenar sekadar untuk berkongsi tentang hidup ini indah. Sesiapa pun kita, kita berhak melakukan apa yang kita suka atau ingin lakukan.

Gembira itu di hati. Kita buat apa yang kita suka atau ingin selagi ia tidak menyalahi hukum agama dan undang-undang.

No comments:

Post a Comment