Sunday 19 September 2021

POKOK SENDUDUK KAYA KHASIAT PERUBATAN TRADISIONAL

Pokok senduduk adalah daripada famili melastomataceae yang berasal dari kawasan khatulistiwa dan kawasan-kawasan subtropik di mana terdapat lebih 4,000 spesies di dunia.

Di Asia Tenggara sahaja, genus melastoma terdapat 22 spesies, termasuk 12 spesies di Malaysia.

Senduduk juga dikenali keduduk merupakan pokok belukar kecil lazimnya tumbuh di kawasan tanah lapang, kawasan terbiar dan juga di tepi jalan.

Pokok senduduk merupakan tumbuhan renek kecil dan bercabang. Boleh tumbuh sehingga 3m tinggi. Daunnya berbentuk ringkas, lanseolat dan panjangnya boleh mencapai sehingga 7 cm.

Daunnya hijau, tekstur kasar, ditutupi dengan bulu-bulu halus. Bunganya besar dan boleh mencapai 5-7 cm lebar.

Tumbuhan ini boleh dibiak dengan mudah melalui biji benih. Selepas 2 minggu, biji benih di tapak semaian akan cambah. Pokok ini boleh dipindahkan ke lapangan selepas 6 minggu.

Pokok ini dapat menyesuaikan dalam semua keadaan tanah dan memerlukan cahaya matahari.

Daun dan pucuk secara tradisinya dimakan untuk memulihkan cirit-birit. Di Malaysia, daun senduduk yang dibuat ubat pupuk digunakan untuk mencegah parut-parut luka kesan daripada kelemumur atau cacar.

Air rebusan akarnya digunakan untuk melegakan sakit gigi, melembutkan kaki dan mengurangkan kembung perut. Manakala air rebusan daun dan akar diminum untuk rawatan selepas bersalin.

Air rebusan campuran daun-daun senduduk, cuka, halia bara (Zingiber officinale) dan bonglai (Zingiber cassumnar)digunakan untuk rawatan leucorrhea.

Air rebusan campuran daun dan pucuk senduduk serta dicampur dengan kulit manggis atau kulit buah manggis yang dibakar menjadi arang digunakan untuk merawat cirit-birit.

Serbuk daun senduduk juga digunakan untuk merawat disenteri, luka-luka dan juga digunakan sebagai tonik.

Buah senduduk berwarna coklat, berbentuk seperti cawan, berangkai dan mengandungi banyak biji berwarna hitam serta rasa manis. Buah keduduk muda pula dijadikan ‘peluru’ senapang getah.

Keseluruhan pokoknya bermula dari pucuk, batang, buah hinggalah ke akarnya semuanya berfungsi sebagai ejen penyembuhan.

Daun, akar, batangnya boleh dijadikan mandian untuk wanita lepas bersalin dan juga diminum untuk memulihkan sistem dalaman peranakan dan juga buasir.

Pucuknya yang muda boleh dijadikan ulam untuk cirit birit. Manakala daunnya yang kering boleh merawat keputihan jika direbus bersama dengan halia, bonglai dan sedikit gula.

Untuk menghilangkan kesan parut terutamanya cacar, giling akarnya bersama daun dan tampal di bahagian bermasalah. 

Selain ungu dan biru, keduduk putih adalah satu-satunya bunga keduduk yang menjadi buruan dan bernilai di pasaran satu masa dulu. Diburu bukan saja pada nilai perubatannya, malahan pada aura dan mistiknya yang tersendiri.

Banyak terdengar mitos dan cerita misteri mengenai senduduk putih. Antara yang terkenal adalah pencarian untuk mendapatkan batu geliganya. Ramai orang percaya mereka akan mendapat harta karun jika tiba-tiba terjumpa pokok keduduk putih dalam hutan. 

Namun, itu semua hanya mitos. Sekarang ini banyak senduduk putih diperoleh dengan mudah jika pergi ke nurseri. Ia juga mudah dibiarkan sama seperti pokok senduduk jenis lain.

No comments:

Post a Comment