Friday 1 March 2024

TANAM BAWANG ATASI KEKURANGAN BEKALAN

 
Usaha penanaman bawang di negara ini bagi tujuan mengurangkan kebergantungan import dijangka berupaya memenuhi keperluan 30 peratus daripada permintaan tempatan apabila tanaman itu dijangka mengeluarkan hasil berjumlah 14,470 tan bawang menjelang tahun 2026 membabitkan kawasan penanaman seluas 1,374 hektar.

Bagi melaksanakan misi tersebut, Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang giat mengenalpasti kawasan penanaman tanaman tersebut sama ada di kawasan milik Jabatan/Agensi atau petani.

Hari ini, Jabatan Pertanian telah memulakan projek up-skilling tanaman ini di kawasan seluas 2.5 hektar yang terletak di Kompleks Jabatan Pertanian Serdang, Selangor.

Menurut Kuasa Usaha Bahagian Pembangunan Industri Tanaman Serdang, Ho Teng Fook, melalui projek ini, Jabatan Pertanian akan melaksanakan pemantauan agronomi tanaman termasuk pembajaan, sistem pengairan, kawalan penyakit dan perosak dan kesesuaian mekanisasi ladang bagi memastikan petani yang ingin menceburi penanaman bawang mendapat maklumat yang tepat dari pegawai pengembangan Jabatan Pertanian.

"Selain pemerhatian intensif, peluasan penanaman kawasan baharu akan dilakukan di seluruh negara dan penyampaian teknologi penanaman ini akan dilaksanakan oleh pegawai Jabatan Pertanian yang dilatih khas berkenaan pengurusan tanaman bawang ini,” tambahnya.

Jabatan Pertanian mengalu-alukan kehadiran para usahawan untuk melawat dan ladang contoh berskala komersial ini bagi mempelajari dengan lebih jelas berkenaan kaedah penanaman bawang mengikut SOP yang ditetapkan.

Kredit -  Jabatan Pertanian

No comments:

Post a Comment