Ratu
Balqis dianugerahi Allah segala kekuasaan dan kehebatan. Ibnu Katsir
meriwayatkan bahawa Saba adalah gelaran bagi raja dari Yaman. Ratu Saba atau
Balqis adalah seorang daripadanya.
Bagaimanapun, Ratu Balqis dan kaumnya masih tidak beriman kepada Allah. Mereka
yang diperdaya oleh syaitan menganggap bahawa perbuatan menyembah matahari
adalah suci dan mereka terhalang daripada mendapat petunjuk Allah. Allah
menjelaskan kisah Ratu Balqis dalam surat al-Naml, ayat 20-44.
Kehebatan kerajaan Ratu Balqis diceritakan oleh burung hud-hud kepada Nabi
Sulaiman. Di sinilah bermulanya perundingan dan penawaran Nabi Sulaiman supaya
Ratu Balqis menerima risalah Allah.
Kisah Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis bermula apabila seekor burung dipanggil Hud
Hud menceritakan mengenai keadaan Ratu Balqis dan kaumnya yang tidak berpegang
kepada jalan Allah.
Pada suatu hari, Nabi Sulaiman memeriksa pasukannya yang disertai oleh haiwan,
burung dan bangsa jin. Namun, dalam barisan itu, Hud Hud tidak kelihatan.
Baginda kemudian berkata: "Aku tidak melihat Hud Hud di sini. Jika burung
itu tidak hadir kerana alasan yang tidak tepat, aku akan menghukum atau
menyembelihnya."
Hud Hud segara muncul dan dengan rendah hati berkata kepada Nabi Sulaiman:
"Aku datang membawa berita yang sangat penting untukmu yang tidak kau
ketahui sebelumnya."
"Ada seorang Ratu di Yaman. Dia sangat kaya dan kekuasaannya sangat luar
biasa. Syaitan telah membawanya dan pengikutnya ke jalan yang menyimpang.
Mereka memuja matahari dan bukan Allah."
Nabi Sulaiman berkata: "Aku akan membuktikan kenyataanmu segera. Kirimkan
suratku ini kepadanya dan kita tunggu reaksi daripadanya."
Ratu Balqis membaca surat itu sebaik menerimanya. Kemudian dia berkata kepada
penasihatnya: "Surat ini daripada Sulaiman yang menyatakan "Aku
memulakan dengan menyebut nama Allah, yang Maha Pemurah dan Penyayang.
Janganlah tunjukkan kesombongan kepadaku, dan datanglah kepadaku sebagai
seorang Muslim."
Ratu Balqis kemudian berkata kepada penasihatnya: "Aku selalu meminta
nasihatmu dalam hal-hal penting, katakan apa yang harus aku lakukan?"
Penasihat menjawab: "Kita tidak perlu khuatir mengenai surat ini kerana
kita sangat berkuasa. Tetapi, bagaimanapun keputusan terakhir tetap berada di
tanganmu."
Ratu Balqis menjawab: "Pertama kita harus menguji berapa besarkah
kekuasaannya. Sesungguhnya cara surat ini tiba mengisyaratkan bahawa kita harus
berhati-hati dalam menghadapi Sulaiman.
"Aku akan mengirimkan utusan untuk membawa hadiah yang mahal. Dengan cara
ini, kita bukan saja dapat mengukur kekuasaannya, malah menduga apa yang ada
dalam fikirannya. Aku tidak menyarankan untuk berperang melawannya kalau dia
seorang yang lebih kuat.
Penyerang selalu merosakkan kota yang dikalahkan dan memalukan penduduknya.
Kita harus menghindarkan ancaman yang tidak diharapkan ini."
Utusan Ratu Balqis kemudian menyerahkan hadiah berharga itu kepada Nabi
Sulaiman.
Nabi
Sulaiman berkata kepada mereka: "Kamu dan Ratumu sungguh sudah
menyalahertikan pesananku. Bawalah kembali barang yang kau sebut hadiah ini
kepada Ratumu kerana Allah telah memberi kepadaku kurniaan yang jauh lebih
berharga daripada ini. Kamu semua tidak mampu melawan pasukanku, kami akan
mengusir kamu dan memalukan kamu."
Utusan itu menyampaikan peringatan Nabi Sulaiman itu kepada Ratu Balqis. Dia
turut memberitahunya kebesaran kekuasaan Nabi Sulaiman yang menguasai manusia,
burung, haiwan dan jin.
Ratu Balqis menyimpulkan bahawa berperang melawan Nabi Sulaiman sama saja
dengan mengundang kehancuran dirinya. Dia memutuskan untuk menyerah kepada Nabi
Sulaiman.

No comments:
Post a Comment