Pengumuman
demi pengumuman dibuat Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob mengenai SOP Covid-19, termasuk tidak membenarkan Rentas Negeri pada
sambutan Aidilfitri adalah demi untuk kepentingan rakyat. Amat malang apabila
ada segelintir rakyat marah kepada pengumuman yang tidak memihak kepada
kehendak mereka.
Menjaga nyawa adalah satu daripada Maqasid Syariah. Islam amat mementingkan kepada usaha menjauhkan bahaya dan kematian. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195).
Pada bulan Ramadan penuh keberkatan ini marilah kita bersama-sama membuka minda berfikir sejenak untuk mematuhi tuntutan agama. Ibadat berpuasa sepatutnya menjadikan diri kita lebih tenang dan bertakwa.
Keputusan kerajaan tidak membenarkan Rentas Negeri adalah menepati Maqasid Syariah menjaga nyawa dan perintah Allah agar kita tidak mencampakkan diri dalam kebinasaan.
Amalan berpuasa yang melatih sikap sabar dan membina sikap takwa seharusnya menjadikan kita menerima dengan rela hati keputusan kerajaan tidak membenarkan Rentas Negeri.
Bahkan, jika kita benar-benar menghayati dan memahami maksud Maqasid Syariah dan perintah Allah dalam ayat di atas, kita sendiri akan mengambil keputusan tidak mahu rentas negeri biarpun dibenarkan.
Jadi, mengapa kita perlu mempersoalkan keputusan kerajaan tidak membenarkan Rentas Negeri? Tindakan kerajaan adalah untuk kepentingan rakyat.
Rakyat wajib taat kepada kerajaan atau pemerintah dalam perkara kebaikan.
Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: “(Wajib) dengar dan taat (kepada pemimpin) ke
atas setiap orang Muslim pada apa yang ia suka dan ia benci, selagi mana ia
tidak diperintah melakukan maksiat, apabila ia diperintah melakukan maksiat,
maka tiada lagi dengar dan taat.” (Hadis riwayat Bukhari)
Perkataan ‘wajib’ bermaksud mesti dilakukan atau patuh. Sesiapa yang tidak mematuhinya bermakna melakukan dosa.
Tentu sekali pada bulan Ramadan dan Syawal nanti kita tidak mahu tergolong dalam kluster melakukan dosa. Syawal nanti kita ingin menjadi ‘fitri’ yakni bersih daripada dosa atau kembali kepada asal.
Kalau tidak ingin menjaga nyawa, tidak patuh perintah Allah dan tidak taat kepada pemimpin, bagaimana untuk kita menjadi fitri?
Itu juga bermakna bahawa sepanjang melakukan ibadat puasa Ramadan, ia belum berjaya menjadikan kita insan bertakwa seperti tujuan puasa Ramadan disyariatkan.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."
Wahai orang-orang yang beriman, patuhlah kepada Perintah Larangan Rentas Negeri dengan penuh rasa ketakwaan dan ketenangan di dalam jiwa.
No comments:
Post a Comment