Varieti
padi MR 219 adalah sejenis varieti padi yang telah diisytiharkan oleh
kerajaan pada tahun 2001. Ia merupakan sebahagian daripada 41 varieti padi yang
telah diisytiharkan untuk ditanam pesawah semenjak tahun 1964 lagi.
Terdapat
beratus-ratus varieti padi sawah dan varieti padi huma yang ditanam di Malaysia
tetapi hanya beberapa varieti sahaja yang popular dan ditanam secara meluas.
Varieti MR 219 adalah antara yang semakin banyak ditanam pesawah.
Selain
daripada ia tahan serangan penyakit dan perosak, hasil yang dituai dari varieti
ini adalah amat memuaskan.
Padi
ini dihasilkan melalui projek Pembentukan Varieti Untuk Sistem Tanaman Tabur
Terus yang dimulakan pada awal tahun 1988.
Berbeza
dengan varieti-varieti yang terdahulu, varieti ini dihasilkan melalui sistem
tanaman tabur terus di semua peringkat pemilihan dan penilaian kecuali di
peringkat pembiakan generasi F1 dan pembiakan biji benih.
Oleh
itu varieti ini memenuhi sebahagian besar ciri-ciri yang diperlukan untuk
pengeluaran hasil yang tinggi di bawah sistem tanaman tabur terus.
Dihasilkan melalui kacukan antara baka MR 137 dan baka MR 151 yang dilakukan pada
musim luar 1991.
Baka
MR 137 mempunyai ciri-ciri bentuk pokok yang baik, umur matang yang singkat,
saiz dan rupa bentuk biji serta cita rasa nasi yang sangat baik.
Baka
MR 151 pula mempunyai kebaikan pada ciri-ciri masa yang seragam pada tangkai dan
ciri senesen daun.
Dari
segi kerintangan terhadap musuh dan penyakit, MR 137 rintang terhadap benah
perang, MR 151 rintang terhadap penyakit merah dan kedua-duanya adalah rintang
terhadap karah dan hawar daun bakteria.
Varieti
MR219 didapati mewarisi sebahagian besar ciri-ciri yang baik terdapat baka-baka
induk ini.
Bagaimanapun,
kehebatan MR 219 mula menurun dan menyebabkan Institut Pertanian dan Kemajuan
Pertanian Malaysia (MARDI) mengumumkan penamatan penjualan benih asas varieti
padi MR 219 bermula 1 November 2021.
Penamatan
itu susulan prestasi semasa varieti padi MR 219 yang rentan kepada serangan
penyakit karah daun dan karah tangkai.
Kerentanan
ini menyebabkan kehilangan hasil tuaian padi melebihi 50 peratus yang mendorong
kepada penurunan pendapatan pesawah.
Sehubungan
penamatan benih asas varieti MR 219 itu, MARDI mengesyorkan pengeluar benih dan
pesawah menggunakan varieti padi MARDI diisytihar serta terdapat di pasaran
antaranya MR 315 (Seri Waja), MARDI Sempadan 303, MARDI Sebernas 307 dan MARDI
Siraj 297.
Varieti
MR 219 yang diisytihar pada 2001 di Felcra Seberang Perak adalah varieti pemula
yang berhasil tinggi iaitu lapan tan per hektar selain digunakan pesawah selama
10 tahun.
Bagaimanapun,
selepas 10 tahun penggunaan varieti itu, ia mula menunjukkan kerentanan kepada
penyakit dan perosak utama serta mudah rebah dan dihentikan penanaman selepas
tahun 2011.
Namun,
pada tahun 2019, varieti MR 219 ditanam semula kerana ramai petani meminati
varieti itu sehingga menyebabkan penularan penyakit karah daun dan karah
tangkai.
No comments:
Post a Comment