Thursday, 2 June 2022

PAHALA MENGIKUT PERATURAN JALAN RAYA

 
Kaedah yang diperkenalkan oleh Islam ialah hadis Rasulullah SAW yang menyebut "Orang Islam yang baik ialah mana-mana muslim yang terselamat daripada lidah dia dan tangan dia".

Manusia yang baik pada pandangan Islam ialah manusia yang dapat menjaga lidah, dapat menjaga tangan dia supaya jangan sampai tangan dia membinasa atau merosakkan orang lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jangan kita melakukan kemudaratan kepada diri sendiri dan orang lain".

Perkara seumpama ini kita perlu ambil ingatan bahawa memudaratkan diri adalah dilarang dan memudaratkan orang lain juga dilarang.

Kalau kita dapat mematuhinya iaitu menjaga lidah atau menjaga tangan atau kita tidak memudaratkan diri sendiri atau tidak memudaratkan orang lain, kalau kita berjaya melakukannya, kita telah melakukan ibadah kerana menjunjung titah perintah Tuhan.

Apabila menyebut soal pemanduan supaya sentiasa berada dalam bingkai ibadah dan bingkai Ubudiyah, Islam mengajar umatnya supaya berdoa kepada Allah SWT supaya perjalanan itu selamat.

Doa musafir sama ada kita menaiki kenderaan darat, laut dan udara, maka kita diajar oleh agama supaya memulakan perjalanan itu dengan berdoa, sebelum keluar rumah kita disunatkan untuk sembahyang hajat atau sembahyang sunat musafir dua rakaat dengan bacaan-bacaannya yang tertentu.

Dalam Al Quran telah mengingatkan umat Islam bahawa perjalanan ini adalah perjalanan Ubudiyah yang bermaksud perjalanan yang mesti terasa kita diperhatikan oleh Allah SWT.

Pengguna jalan raya tidak boleh menganggap jalan raya sebagai hanya gelanggang mereka tetapi harus ingat ia juga dikongsi dengan orang lain.

Pandulah kenderaan dengan cermat dan berhemah, semoga sampai ke destinasi dengan selamat.

No comments:

Post a Comment