Saturday, 25 January 2025

SENI MEMBUAT KEPUTUSAN

 
Hidup perlu membuat keputusan. Menurut ahli psikologi, dalam tempoh 24 jam kita akan membuat sekurang-kurangnya 200 keputusan. Ini bererti setiap hari kita membuat banyak keputusan, sama ada kecil atau besar keputusan itu bergantung kepada keadaan. 

Membuat keputusan atau pilihan memerlukan kemahiran. Seni membuat keputusan menentukan cara kita membuat keputusan yang betul, cepat dan akhirnya mendatangkan kejayaan.
 
Ketika membuat keputusan, hati hendaklah tenang dan bermohon kepada Allah SWT agar ditunjukkan piian yang tepat. Jika kita tidak mampu mencapai keputusan yang betul pastinya ia akan membuahkan kegagalan.
 
Jika daripada 200 keputusan itu dilakukan dengan betul dan tepat, kita akan menjadi orang yang bahagia. Sebaliknya, jika kita mengambil keputusan yang salah, kesannya bukan sahaja kepada kita barangkali akan membabitkan orang lain.
 
Membuat keputusan yang betul, cepat dan tepat adalah kemahiran yang perlu dipelajari. Seni membuat keputusan mesti diketahui setiap orang kerana keputusan yang kita ambil mempengaruhi kehidupan hari ini, esok dan akan datang.
 
Untuk merebut peluang dalam kehidupan memerlukan kita membuat keputusan. Bagaimana untuk mencari solusi terbaik dalam hidup juga memerlukan keputusan. Bagaimana membuat pilihan dalam hidup juga memerlukan kita membuat keputusan yang tepat.
 
Mukmin perlu sedar untuk mengawal kehidupan perlu bersandarkan kepada keimanan, syariat dan kehendak Allah SWT. Penentu kepada kehidupan berada dalam tangan kita sendiri.
 
Jangan biarkan orang lain mengawal dan membuat keputusan yang menentukan keadaan diri kita. Keadaan itu akan memerangkap kita kepada percaturan orang lain.
 
Marah, sedih, bahagia, kecewa dan apa sahaja ditentukan dan pilihan kita sendiri. Bahagian kehidupan ini harus ditetapkan oleh kita sendiri berdasarkan keimanan dan petunjuk Allah SWT, bukan ditentukan atau dikawal oleh orang lain.
 
Hidup ini adalah untuk menyelesaikan masalah atau ujian. Justeru, memahami seni membuat keputusan penting kerana ia menentukan bagaimana kita membuat keputusan saat berdepan ujian atau masalah.
 
Seandainya kita tidak mampu membuat keputusan, ia bakal mengundang kegagalan dalam hidup. Cerdik pandai menyebut, lebih baik membuat keputusan kemudian gagal daripada gagal membuat sebarang keputusan, kerana ia mengundang kepada keadaan lebih buruk.
 
Jangan sesekali takut untuk membuat keputusan kerana hidup ini ditentukan oleh keputusan yang dibuat. Apa sahaja keputusannya, ia sebahagian daripada proses kehidupan.
 
Prinsip utama dalam membuat keputusan adalah berdasarkan keikhlasan kerana Allah SWT. Setiap keputusan yang ikhlas kerana Allah SWT membantu kita memperoleh keputusan yang tepat dan benar. Justeru, hadirkan Allah SWT dalam hati semasa ingin membuat sebarang keputusan.
 
Sedangkan jika membuat keputusan kerana dendam, marah dan dengki, yang mendampingi kita untuk membuat keputusan adalah syaitan. Syaitan akan mempengaruhi membuat keputusan yang kesan adalah keburukan.

No comments:

Post a Comment