Saturday 2 June 2018

RUANG KEBEBASAN BERSUARA MENGIKUT PERLEMBAGAAN

Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10 (1) (a) memberi ruang luas kepada hak dan kebebasan bersuara di negara kita sebagai satu kebebasan asasi rakyat Malaysia. Namun, pada masa sama, Perkara 10 di bawah Fasal (2), (3) dan (4) menjelaskan mengenai batasan atau sekatan untuk memastikan kebebasan yang diberikan itu tidak memberi kesan negatif kepada masyarakat secara keseluruhan. 

Kebebasan hakiki memang tidak wujud dalam apa jua keadaan jika melibatkan kepentingan individu dan pihak lain. Tidak ada undang-undang yang membenarkan atas dasar kebebasan untuk melakukan sesuatu tindakan yang boleh mendatangkan keburukan kepada pihak lain. 

Undang-undang negara terdapat akta khusus untuk menangani masalah fitnah iaitu Akta Fitnah 1957. Akta itu membolehkan seeorang dihadapkan ke muka pengadilan sekiranya didapati melakukan perbuatan yang boleh merendahkan diri seseorang pada mata masyarakat; tindakan yang boleh menyebabkan seseorang dicemuh, dihina, dibenci dan dikeji; perlakuan yang boleh merosakkan reputasi dalam jawatan, profesion dan perniagaan seseorang; dan bertujuan merosakkan kredibiliti seseorang.

Jika fitnah itu mengandungi unsur jenayah, tuduhan boleh dikenakan di bawah Seksyen 499 sehingga Seksyen 502 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-dua-duanya sekali.   

Selain itu, mereka yang melakukan perbuatan yang boleh membahayakan keselamatan negara melalui perbuatan menghasut boleh didakwa mengikut kesalahan Akta Hasutan 1948. Di bawah Seksyen 4 (1) (b), jika disabitkan bersalah boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 dan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Biarpun negara mempunyai undang-undang yang tegas untuk menghalang perbuatan yang mendatangkan mudarat kepada negara dan rakyat, pihak yang tidak bertanggungjawab tidak takut melakukan perbuatan itu kerana yakin terdapat ruang-ruang yang dapat digunakan untuk terlepas dairpada tindakan undang-undang. 

Bahkan, mereka mendakwa tindakan pihak berkuasa menahan dan mendakwa penyebar fitnah dan hasutan sebagai bermotifkan politik dan menindas rakyat.  Sikap sedemikian membuktikan penyebar fitnah tidak menghormati undang-undang negara dan sentiasa mencari jalan untuk memberi tekanan kepada pihak kerajaan dengan cara terus mencipta fitnah.  

Sebenarnya apa saja tuduhan tidak berasas yang dilemparkan kepada individu, organisasi dan kerajaan menambahkan lagi krisis jatidiri rakyat yang semakin dikelirukan dengan berita dan dakwaan yang tidak berasaskan kepada fakta. Oleh sebab itu, budaya ini perlu dihentikan bagi memberi ruang untuk rakyat lebih memberi tumpuan kepada soal lebih berfaedah untuk menjayakan program transformasi negara.

No comments:

Post a Comment