Friday 15 October 2021

LATIHAN KUASA TEMBAKAN ATM

 
Latihan Kuasa Tembakan (LKT) mempamerkan kredibiliti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menggalas tugas utama iaitu memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

LKT adalah acara tahunan. Latihan ini kali terakhir diadakan pada tahun 2019, namun dalam skala kecil disebabkan negara ketika itu dilanda keadaaan jerebu. Manakala pada tahun 2020 latihan tidak dapat dilaksanakan disebabkan pandemik COVID-19.

LKT 2021 diadakan bertempat di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas pada 14 Okt 2021.

LKT 2021 ini diadakan untuk mempamerkan keupayaan sesebuah kumpulan tempur dalam ketumbukan gabungan kekuatan melalui keupayaan anggota dan kuasa tembakan secara segmen dinamik yang merangkumi senjata Bantuan Infantri, Mekanize, Armor, Artileri, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) serta Pesawat Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam memperagakan keberkesanan sistem persenjataan ATM.

Selain itu, latihan ini turut menguji pengurusan pasukan serta keupayaan dan kompetensi anggota yang terlibat dalam melaksanakan latihan tembakan peluru hidup.

Latihan juga diadakan bagi memberi pendedahan kepada para penuntut Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) di mana ianya telah dipertontonkan kepada mereka pada 12 Okt 2021.

Seramai 969 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terlibat dalam LKT 2021 bersama 106 buah aset dan persenjataan melibatkan Kenderaan Perisai Pendekar, Gempita, Lipan Bara, Adnan dan Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV).

Manakala aset persenjataan pula merangkumi persenjataan kecil hingga ke senjata berkaliber besar seperti Unit Lancar Berganda (ULB) Astros II, Meriam 155 MM G5 MK III, Meriam 105 MM PH L5, Anti-Tank Guided Missile (ATGW) Ingwe, Baktar Shikan, Mortar 81 MM dan Rocket-Propelled Grenade (RPG-7 40MM).

Selain itu, latihan tembakan turut melibatkan persenjataan peringkat kompeni iaitu Colt M4, Minimi, M203, GPMG, RPG-7 dan Mortar 60 MM, senjata batalion terdiri daripada Heavy Machine Gun (HMG) dan Automatic Grenade Launcher (AGL).

Manakala pesawat terlibat adalah Helicopter Super Lynx dari TLDM yang dipasang dengan persenjataan HMG, dan Helicopter Agusta A109 LOH bersama Gatling Gun dari PUTD.




Tulisan diolak dari sumber Berita Tentera Darat Malaysia
Gambar: Berita Tentera Darat Malaysia 

No comments:

Post a Comment