Tuesday 23 May 2023

PERANAN DAN TUGAS FASILITATOR

 
Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, definisi fasilitator ialah orang yang membimbing (memandu) sesuatu program pembelajaran dan pengajaran. Disebabkan peranan fasilitator adalah membimbing, maka ada juga menamakan fasilitator sebagai pembimbing. 

Mengikut Carl Rogers, (1983) dalam bukunya Freedom To Learn, perkataan fasilitasi diambil daripada Bahasa Latin “facilis” yang membawa maksud untuk mempermudah. 

Manakala Trevor Bently, (1994) pula memberikan erti fasilitator sebagai menawarkan atau menyediakan peluang pembelajaran. 

Dengan kata lain, tugas fasilitator adalah sebagai pemudah cara yang berperanan membantu peserta dalama sesebuah kumpulan latihan melalui suatu proses pembelajaran dan komunikasi yang berkesan bagi mencapai matlamat sesebuah kelompok atau perbincangan.

Fasilitator berperanan memudahkan proses perbincangan supaya dapat berjalan dengan lebih lancar dan licin.

Dalam melaksanakan tugas, fasilitator perlu kepada pemerhatian, menasihati, membantu, membimbing dan kaunseling secara maksimum. Manakala mengurus, mengarah dan mengawal sesuatu kumpulan dan perbincangan mesti pada tahap yang paling minimum.

Fasilitator mesti memahami dengan mendalam sama ada dari segi teknikal mahupun konsep dan etika. Justeru, penting bagi seorang fasilitator mempelajari dan memahami hal yang berkaitan dengan apa yang akan dibincangkan dalam kumpulan.

Fasilitator adalah agen perubahan. Namun, perlu diingat fasilitator bukannya mengubah keseluruhan hidup seseorang. Ia hanya satu sistem bagi membantu mengubah minda dan meningkatkan kefahaman mengenai perkara yang dibincangkan.

Seorang fasilitator dijangkakan dapat memberikan dorongan kepada semua pesertanya. Dalam hal ini, peserta diharap dapat mengaplikasikan fakta, mengutarakan pendapat sendiri dan memanfaatkan segala idea secara bebas dan tidak perlu diarahkan oleh sesiapa.

Pendekatan yang digunakan biasanya sesuai dengan keperluan dan keadaan semasa peserta sendiri. Sekiranya ini dapat dilaksanakan, peserta akan merasa lebih selesa menerima pembelajaran yang disampaikan oleh fasilitator. Pembelajaran yang berlaku dalam kumpulan sepatutnya serius, tetapi berlaku dalam keadaan yang menggembirakan.

Apabila peserta yang diterima oleh fasilitator pada sesuatu masa itu berlainan latar belakang, masalah, minat dan keperluan, fasilitator akan berusaha mencari kaedah yang paling sesuai digunakan supaya bukan sahaja dirinya dapat diterima oleh kumpulan, tetapi apa juga yang disampaikan oleh fasilitator dapat diterima oleh semua ahli kumpulan.

Mungkin peserta yang hadir pada sesuatu kursus itu sudah pun kaya dengan ilmu dan pengalaman. Namun mereka masih perlu dibantu bagi menyelaraskan perbezaan yang wujud dalam dirinya dan orang-orang yang bekerja di sekelilingnya.

Menjadi tanggungjawab fasilitator memastikan apa juga yang berlaku dalam perkongsian kumpulan dan pembelajaran yang berlaku dalam proses kumpulannya, adalah wajar semua bimbingannya itu menuju ke arah memenuhi keperluan kumpulan dan khususnya bermanfaat kepada diri setiap ahli kumpulan.

Fasilitasi atau kefasilitatoran lebih berhasrat mengamanatkan kuasa kepada seseorang supaya mengawal malah bertanggungjawab terhadap usaha serta berusaha sedaya upaya mencapai matlamat yang diinginkan.

Proses kefasilitatoran hanya akan dirasakan kemajuannya apabila fasilitator berjaya mendorong setiap ahli dalam kumpulannya memainkan peranan masing-masing. Adalah perlu dipastikan setiap pandangan dan cadangan yang disampaikan oleh setiap ahli kumpulan diproses dengan baik dan keputusan dibuat dengan konsensus kumpulan.

Seorang fasilitator akan berusaha memandu ke tahap pemikiran dan penaakulan berasaskan bakat dan keupayaan kepimpinan seseorang itu. Sekiranya setiap individu mempunyai daya kepimpinan dalam dirinya, maka usaha menggerakkan individu masyarakat dalam kategori ini adalah lebih mudah.

Apabila setiap seorang mempunyai keinginan membangunkan dirinya sendiri, sebenarnya dia sudah memilih meningkatkan martabat dirinya. Bentuk kehidupan masa akan datang yang kita inginkan adalah pilihan kita sendiri dan hanya orang bijak sahaja yang akan sedar perkara ini dan dia akan berusaha mencapai keinginannya itu.

Dalam kumpulan yang ditangani, fasilitator boleh bertindak sebagai pemimpin dan sebagai rakan seperti ahli yang lain. Dia akan bersama melakukan aktiviti dalam kumpulan. 

Dengan kepakarannya dia akan membimbing, memujuk, memimpin dan membantu bersama dalam kumpulan dengan sepenuh keikhlasan hati, sehingga setiap ahli kumpulan merasakan dirinya adalah sebahagian daripada kumpulan. Kumpulan akan rasa selesa dengan kehadirannya dan mudah bekerjasama.

No comments:

Post a Comment