Friday 30 June 2023

Menteri buat kecoh di KLIA

 
Apabila ada berita tentang ada menteri “ceroboh” dan membuat “kecoh” di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana didakwa bertindak tidak mengikut saluran sepatutnya untuk membebaskan pelancong dari China yang ditahan pihak Jabatan Imigresen, lalu berita itu ditularkan dengan harapan akan memberi imej buruk kepada menteri berkenaan yang dilihat membela pelancong dari China itu.
 
Rakyat memang amat sensitif dengan isu pelancong dari China yang dilihat banyak yang datang dan kemudiannya tiada rekod keluar biarpun telah melepasi tempoh masa yang sepatutnya.
 
Isu pelancong China memang sering menjadi polimik. Kehadiran mereka sering dicurigai biarpun membawa manfaat dari segi industri pelancongan.
 
Kembali kepada isu menteri buat kecoh itu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tiong King Sing mengakui dirinya menteri yang dimaksudkan dalam kekecohan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
 
Bagaimanapun, kata Tiong kehadirannya di sana telah mendedahkan rasuah di kalangan pegawai di lapangan terbang.
 
Ting bersyukur kerana kehadirannya telah membongkar satu peristiwa yang memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.
 
Beliau menjelaskan pada mulanya tidak mahu mendedahkan isu tersebut kerana sedang bertindak mengikut saluran serta platform yang lebih praktikal. Namun disebabkan isu ini tular dan ramai pengamal media menghubunginya, maka beliau membuat penjelasan tentang kejadian tersebut, termasuk soal budaya rasuah di pintu masuk negara.
 
Tiong menafikan dakwaan yang menuduhnya melepaskan pelancong asing yang ditahan oleh pihak imigresen.
 
Menurutnya, warga China yang dibelanya sebenarnya ditahan tanpa diberi alasan atas sebab-sebab penahanannya.
 
Katanya, masalah timbul apabila kedua-dua, pihak pegawai imigresen dan pelancong asing tersebut mempunyai masalah komunikasi.
 
Katanya lagi, dimaklumkan bahawa pelancong tersebut telah lengkap segala dokumentasi namun kegagalan komunikasi kedua pihak mengagalkan pihak imigresen mendapatkan dokumen yang diperlukan dari pihaknya.
 
Tiong berkata dia masih waras dan tahu batas-batas sebagai seorang menteri. Beliau menyebut apa guna sebagai menteri sekiranya tidak memberi tumpuan serius terhadap kepentingan negara, tambahan pula ia menjejaskan imej negara dan menakut-nakutkan pelancong asing.
 
Kata Tiong, dia akan menyerahkan semua maklumat berkaitan kepada SPRM supaya siasatan dapat dijalankan seterusnya dapat memulihkan imej Malaysia terutamanya di pintu masuk negara.
 
Menurutnya, dia turut diberitahu bahawa ada pegawai imigresen yang meminta wang diberikan sekiranya pelancong asing yang ditahan mahu dilepaskan. Ada yang minta sehingga RM3,000 untuk dikeluarkan dari tahanan termasuk tiket penerbangan pulang ke negara asal. Tambahan RM3,000 pula diminta jika mahu pulang ke negara asal dengan kadar segera menerusi ‘laluan khas’, manakala RM12,000 untuk kos memproses visa.
 
Tindakan menular asalnya bertujuan untuk mencalar imej menteri, sebaliknya perkara lain pula yang timbul yang semestinya (jika apa dikatakan oleh menteri itu betul) mencemarkan imej pejawat awam yang rata-ratanya Melayu.

No comments:

Post a Comment